Wanita ditahan selepas tujuh bulan bersekedudukan dengan duda



Jasin: Seorang wanita yang masih berstatus isteri orang dicekup bersama teman lelakinya, selepas disyaki berkhalwat dalam serbuan di sebuah rumah di Serkam, di sini, pada Khamis.

Dalam serbuan, kira-kira jam 7.05 malam itu, turut ditahan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bersama pasangan itu adalah anak wanita terbabit.

Pengarah JAIM Datuk Che Sukri Che Mat berkata, lelaki yang berstatus duda dan pasangan, masing-masing berusia 50-an dan anak wanita terbabit yang juga seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditahan dalam Operasi Sentuhan Kecundang.


Beliau berkata, ketika serbuan dijalankan, JAIM mendapati terdapat tiga individu di dalam rumah terbabit dan pemeriksaan lanjut mendapati mereka bukan pasangan mahram selain gagal menunjukkan sebarang dokumen.

"Selepas disoal siasat, pasangan itu mengaku mereka bukan suami isteri selain anak wanita terbabit mendakwa lelaki itu bakal ayahnya.

"Malah wanita itu turut mendakwa ditinggalkan suaminya sejak tujuh bulan lalu dan sudah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah," katanya.

Katanya, pada awalnya lelaki terbabit memberi alasan ke rumah wanita berkenaan hanya untuk membaiki kenderaan, namun pemeriksaan lanjut kemudian menemui pakaiannya di dalam rumah.


"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pakaian-pakaian lelaki itu di dalam bilik dan juga ruang tamu.

"Malah penguatkuasa JAIM juga sudah menjalankan risikan sejak beberapa minggu lepas malah hasil aduan diterima, pasangan ini didakwa sudah tinggal bersekedudukan kira-kira tujuh bulan namun pergerakan mereka agak licik," katanya.

Mengulas lanjut, Che Sukri berkata, kesemua mereka kemudian dibawa ke pejabat JAIM untuk siasatan lanjut mengikut bawah Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau 24 bulan penjara atau kedua-duanya sekali. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram