Suami kerja syif malam, rakan ‘teman’ isterinya di rumah



MELAKA – Seorang wanita dua anak dan rakan suaminya sendiri dicekup berkhalwat di sebuah rumah kampung di Jalan Pulau Senang, Semabok di sini awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, dalam serbuan pukul 1.05 pagi itu, wanita berusia 29 tahun itu mengaku tinggal bersama lelaki itu yang juga rakan sekerja suaminya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Batu Berendam.

“Ketika pemeriksaan, wanita itu mengaku suaminya berusia 38 tahun tiada di rumah kerana bekerja syif malam meninggalkannya dan dua anak mereka masing-masing berusia tiga tahun dan tiga bulan bersama rakan sekerjanya itu berusia 61 tahun.


“Siasatan lanjut mendapati, lelaki berkenaan tinggal di situ sejak enam bulan lalu selepas baharu mendapat kerja di syarikat kawalan keselamatan bersama suami wanita terbabit,” katanya ketika ditemui media dalam operasi bersepadu di sini hari ini.

Operasi itu turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Turut sama Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri Melaka, Akmal Nadzim Abdullah dan sepasukan penguat kuasa daripada Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan.


Mengulas lanjut Che Sukri berkata, kedua-dua mereka yang merupakan warga tempatan itu kemudian ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman mendatangkan syak.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali. – MG









Join our Telegram Channel
Telegram