Alasan air, lelaki ditahan khalwat bersama janda 11 anak



Jasin: Terputus bekalan air dan terpaksa menumpang di rumah kakak angkat. Itu alasan diberikan seorang duda ketika dicekup berkhalwat bersama janda yang memiliki 11 anak di Taman Maju, di sini, kelmarin.

Bapa kepada dua anak berusia 35 tahun itu yang juga anggota pasukan keselamatan itu memberi alasan berkenaan bagi meraih simpati penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) yang melakukan serbuan.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pemeriksaan lanjut mendapati wanita berusia 46 tahun itu adalah tunangan orang yang bakal berkahwin kali ketiga pada April depan.

Menurutnya, lapan anggota Unit Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Jasin (PAIDJ) dan Ibu Pejabat JAIM terbabit operasi sekitar jam 3.20 pagi Ahad lalu.


"Anggota penguat kuasa terpaksa menunggu 15 minit sebelum pintu dibuka oleh seorang wanita. Ketika itu didapati lampu di bilik hadapan rumah teres itu masih bernyala.

"Pemeriksaan lanjut menemui dua lelaki iaitu anak wanita itu berusia 16 tahun dan seorang duda di atas katil dalam bilik hadapan serta seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di bilik belakang.

"Ketika ditanya anggota unit beruniform itu memberi alasan rumahnya tiada bekalan air dan terpaksa bermalam di rumah janda terbabit yang sudah dua kali bercerai sebelum ini," katanya ketika dihubungi.

Che Sukri berkata, siasatan awal mendapati duda terbabit bercerai pada Januari lalu dan berkawan dengan anak lelaki janda itu yang dijadikan sebagai kakak angkat.


Katanya, wanita yang tidak bekerja itu mempunyai 11 anak iaitu lapan anak hasil perkahwinan pertama dan tiga anak dengan suami kedua serta pernah ditangkap atas kesalahan berkhalwat dengan lelaki lain, dua tahun lalu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati mereka bersekedudukan sejak setahun lalu dan ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman.

"Sementara itu, anak wanita itu disiasat mengikut Seksyen 34 Enakmen sama kerana bersubahat," katanya.

Beliau berkata, kejayaan operasi itu hasil kerjasama orang awam dan ahli Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) yang menyalurkan maklumat dan membantu pihak JAIM mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat. – Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram