Kerusi Batang Kali dikosongkan, ADUN ponteng sidang DUN 6 bulan



SHAH ALAM – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali diisytiharkan kosong selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan itu, Harumaini Omar dilucutkan sebagai wakil rakyat.

Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim berkata, perlucutan itu adalah perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 apabila Harumani tidak hadir tanpa kebenaran speaker pada persidangan DUN selama enam bulan.

Katanya, berdasarkan rekod Penyata Rasmi dan Buku Kehadiran mendapati tarikh akhir Harumaini ke persidangan DUN adalah pada 27 Julai 2022.

Persidangan Dewan adalah dari 23 hingga 30 November, 1 hingga 2 Disember dan 5 hingga 6 Disember 2022.


“Memandangkan tempoh enam bulan dikira bermula dari tarikh 28 Julai tahun lalu, maka dengan kuasa saya sebagai Speaker DUN Selangor mengisytiharkan bahawa kerusi Harumaini adalah kosong berkuatkuasa pada 28 Januari lalu.

“Ini juga bermakna kelayakannya sebagai ADUN juga terlucut,” katanya pada sidang akhbar di lobi bangunan Annex, hari ini.

Harumaini yang merupakan anggota Parti Bersatu bertanding di kawasan tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) atas tiket PKR sebelum partinya berpisah keluar daripada Pakatan Harapan (PH). Beliau kemudian menyertai Pejuang dengan meninggalkan Bersatu pada 2020.

Menurut Suee Lim, Harumaini juga tidak pernah berhubung dengannya termasuk menerusi surat sepanjang tempoh enam bulan bagi memaklumkan ketidakhadirannya itu.


“Beliau (Harumaini) akan mengetahui pelucutannya menerusi sidang akhbar ini. Kita tidak akan menerima sebarang rayuan dan dia tidak perlu datang sidang DUN pada 13 Mac ini.

“Notis kekosongan kerusi akan diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat. Terpulang kepada SPR sama ada akan dibuat Pilihan Raya Kecil (PRK) atau tidak,” katanya.

Mengulas lanjut, Suee Lim berkata, ini bukan tindakan kali pertama kerana pengisytiharan serupa pernah dilakukan Speaker DUN sebelum ini iaitu Teng Chang Kim kepada bekas ADUN Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah pada 2011. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram