Menteri kecam bekas pemain badminton negara hina Islam-Melayu



PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mengecam tindakan bekas pemain pelapis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang membangkitkan ucapan perkauman dan pertikaian agama di media sosial baru-baru ini.

Walaupun pemain itu memohon maaf, Hannah sama sekali tidak bersetuju dengan tindakan Bong Guan Yik yang pernah bernaung bawah BAM pada 2014 dan kini tidak lagi menetap di Malaysia.

“Dia (Guan Yik) bukan lagi atlet negara dan hanya bekas pemain pelapis percubaan BAM pada 2014,” katanya di Twitter.


Guan Yik dalam satu video di TikTok mendakwa prestasi pemain negara merudum pada Terbuka Malaysia 2023 kerana BAM diuruskan oleh orang Melayu selain menyentuh sensitiviti umat Islam.

Dia menyifatkan pengurusan BAM diketuai orang Melayu sebagai malas, selain tidak mempunyai niat untuk menguruskan badan induk itu dengan baik apatah lagi memajukan sukan badminton negara.

BAM pada ketika ini dikendalikan Norza Zakaria yang menjadi presiden sejak 2017.

“Saya telah semak dengan Majlis Sukan Negara dan BAM, dia (Bong Guan Yik) bukan lagi atlet negara dan merupakan bekas pemain.


“Saya percaya ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan. Ini tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia.” ujarnya.

Pada masa sama, Hannah juga mengulangi sukan perlu bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik.

“Saya menasihati atlet negara supaya berhati-hati dengan kandungan media sosial kerana mereka menjadi inspirasi kepada masyarakat.” – FMT
Join our Telegram Channel
Telegram