‘Mukhriz minta kerusi’ – Sanusi



PENGARAH Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi parti baru-baru ini.

Menurutnya, dalam pertemuan dengan lima pemimpin tertinggi PAS itu, bekas Menteri Besar Kedah terbabit dikatakan meminta kerusi di Kedah.

Menteri Besar Kedah itu bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya difahamkan Mukhriz ada berjumpa dengan beberapa pemimpin PAS. Tak pasti di mana pertemuan itu dilakukan tetapi ada jumpalah.


“Saya pun tidak pasti apa perbincangan itu kerana saya tiada dalam perjumpaan itu. Saya pun tak tanya apa yang mereka bincangkan.

“Bila ditanya, pemimpin PAS beritahu Mukhriz minta kerusi (di Kedah),” katanya.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah berharap perbincangan awal yang diadakan itu membawa kepada hasil yang positif.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi mengalu-alukan sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jitra itu berhasrat menyertai PAS atau PN.

“Siapa pun kalau nak sertai PAS kita terima. PAS adalah parti terbuka. Mukhriz pun boleh kalau beliau mahu masuk PAS. Cumanya, kalau nak jadi MB susahlah sikit,” katanya.


Sebelum ini, Mukhriz dilaporkan berkata Pejuang mengambil keputusan untuk berundur daripada Gerakan Tanah Air (GTA) bagi memberi tumpuan kepada usaha pengukuhan parti itu sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan para perwakilan dalam Perhimpunan Agung Pejuang kali kedua yang berlangsung bulan lalu, ekoran kekalahan teruk parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau turut tidak menolak kemungkinan Pejuang akan menjalin kerjasama politik sama ada dengan PN atau Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri. – Malaysiapost







Join our Telegram Channel
Telegram