Usaha Pejuang untuk mendapatkan keselamatan politik yang lebih terjamin dengan menyertai Perikatan Nasional (PN) gagal.
Majlis Tertinggi PN hari ini memutuskan untuk menolak permohonan Pejuang untuk menyertai gabungan itu.
Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan berkata keputusan itu dibuat semasa mesyuarat semalam.
“Majlis Tertinggi telah membuat keputusan menolak permohonan kemasukan parti Pejuang Tanahair ke Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hamzah tidak memberikan sebarang alasan mengapa gabungan berkenaan memutuskan untuk menolak Pejuang.
Kenyataan itu uga tidak menyebut tentang Gerakan Tanah Air (GTA) yang juga dilaporkan berhasrat untuk menyertai PN.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin selaku pengerusi PN dan dihadiri olehy Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.
Pejuang adalah parti serpihan Bersatu - parti utama dalam PN - ditubuhkan selepas Dr Mahathir Mohamad, anaknya Mukhriz Mahahtir, dan sekutu lain dipaksa keluar susulan Langkah Sheraton 2020.
Pejuang kemudian bergabung tenaga dengan Putra dan parti Melayu sayap kanan lain untuk membentuk GTA.
Walau bagaimanapun, GTA dan Pejuang mengalami kekalahan yang memalukan pada pilihan raya umum ke-15 dengan semua calon mereka kehilangan wang pertaruhan mereka.
Berikutan itu berlaku perpecahan dalam Pejuang apabila Dr Mahathir - yang merupakan pengerusinya - tidak sependapat dengan anaknya, Mukhriz, yang adalah presiden parti. Mahathir kemudian meninggalkan Pejuang dan menyertai Putra.
Bimbang, sekali lagi akan kalah teruk pada enam pilihan raya negeri akan datang, Mukhriz memohon agar Pejuang menyertai PN, dengan alasan ini akan membantu mengelakkan perpecahan dalam undi Melayu.
Sementara itu, Hamzah dalam kenyataannya hari ini berkata PN memutuskan untuk kekal dengan taktik PRU15 menggunakan logo PAS di Kelantan dan Terengganu serta logo gabungan itu di negeri lain.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel