Polis panggil Pemuda PAS T'ganu berarak hunus ‘pedang’, ‘tombak’



KUALA LUMPUR: Tindakan sekumpulan ahli Pemuda PAS berarak membawa replika pedang, lembing dan perisai di Setiu, Terengganu pada Jumaat lalu yang gambar dan video mengenainya tular di media sosial, dipersoalkan warga netizen yang mengaitkannya dengan dengan keganasan dan provokasi.

Namun, penganjur program Himpunan Pemuda Islam Terengganu (HIMPIT 2023) itu menjelaskan, perhimpunan seluruh jentera Pemuda PAS Terengganu itu diadakan sejak 1991 lagi dan sudah menjadi acara tahunan.

Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Harun Esa, berkata sudah menjadi tradisi perhimpunan itu juga dengan lapan ahli Pemuda PAS kawasan membawa replika mengikut tema perarakan masing-masing.

"Ada yang membawa tema sukan, pelantar minyak, wisma Darul Iman, bahkan ada yang berkuda pada penganjuran HIMPIT kali ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Mohd Harun berkata, tiada istilah keganasan dan provokasi pada program itu, malah sangat menarik apabila melihat kreativiti wakil Pemuda PAS kawasan mempamerkan idea masing-masing.

"Ada antara mereka yang memulakan persiapan hampir sebulan semata-mata untuk menyertai program kali ini. Anggota polis trafik juga ada bersama kami membantu mengawal lalu lintas ketika perarakan setiap kontinjen berlangsung dengan aman," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa jika ada siasatan dibuat berkait perarakan bersama replika pedang, lembing dan perisai pada perhimpunan berkenaan.

"Benarlah sabdaan Nabi SAW, manusia akan menentang apa yang mereka jahil. Isu pemakaian seragam perang zaman sahabat oleh salah satu kontinjen hanyalah sebahagian daripada memenuhi tema perarakan mereka," katanya.


Katanya, ia sama seperti perarakan dan pertandingan 'cosplay' yang dibuat di seluruh pelusuk negara yang menayangkan senjata adiwira kegemaran mereka.

"Bahkan ada filem klasik perjuangan yang ditayangkan dengan menggunakan senjata juga diterima dalam masyarakat. Bagaimanapun kami tetap berterima kasih kepada semua pihak yang memberi publisiti kepada program tahunan Pemuda PAS Terengganu ini secara langsung atau tidak," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata pihaknya tidak melihat perarakan itu menganggu ketenteraman awam dan hanya bertujuan menyambut semangat perjuangan Islam, bukan untuk keganasan.

"Saya tidak lihat sebarang kesalahan pun, kaum lain juga ada yang berarak ketika perayaan seperti Thaipusam. Malah, golongan LGBT pun ada yang berarak bawa bendera," katanya.

Sementara itu polis turut telah memanggil Pemuda PAS Terengganu untuk siasatan lanjut, menurut Malaysia Insight.– Bharian / MI















Join our Telegram Channel
Telegram