Sepupu menantu Muhyiddin, pemimpin Bersatu Segambut, diheret ke mahkamah tuduhan rasuah



Seorang CEO sebuah syarikat yang dikenali sebagai Adam Radlan Adam Muhammad, mengaku tidak bersalah atas dua dakwaan meminta dan menerima rasuah RM500,000 berhubung inisiatif Jana Wibawa.

Sehubungan itu, Adam Radlan yang juga adalah timbalan ketua bahagian Bersatu Segambut memohon dibicarakan apabila pertuduhan dibacakan di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, di hadapan hakim Suzana Hussin.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa telah meminta suapan wang tunai sebanyak 3.5 peratus hingga 7 peratus daripada nilai projek yang diperolehi daripada Pengarah Urusan Syarikat MIE Infrastruktur dan Energy Sdn Bhd, Mat Jusoh Mamat sebagai dorongan untuk mendapat surat setuju terima bagi projek Jana Wibawa.

Dalam pertuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah sebanyak RM500,000 daripada Mat Jusoh sebagai upah mendapatkan sebuah projek pembinaan jalan.


Nilai keseluruhan projek membina jalan itu bernilai RM47.8  juta dan beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM  2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan beliau boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan 

Hakim, Suzana kemudian menetapkan Adam Radlan dibenar ikat jamin sebanyak RM120,000 berserta dua penjamin.

Beliau juga mengenakan syarat tambahan untuk Adam Radlan menyerahkan pasportnya sehingga kes selesai dibicarakan.

Selain itu, hakim juga menetapkan supaya pemimpin Bersatu itu melaporkan diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan sehingga tarikh perbicaraan.


Hakim kemudian menetapkan tarikh sebutan kes pada 23 Mac ini.

Di mahkamah berasingan, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan minta dibicarakan atas dakwaan menerima rasuah hampir RM7 juta berhubung inisiatif Jana Wibawa.

Semalam, Wan Saiful dan ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Jana Wibawa.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram