Sepupu Menantu Muhyiddin didakwa kali ketiga



Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM2 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Adam Radlan, 42, yang juga ahli perniagaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Faham pertuduhan dan mohon dibicarakan,” kata tertuduh yang bersut biru.


Mengikut pertuduhan, Adam Radlan didakwa secara rasuah meminta suapan wang berjumlah RM2 juta daripada Lian Tian Chuan sebagai upah untuk tertuduh kerana membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM141 juta.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Publika, Damansara sekitar Januari 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – Bernama



Join our Telegram Channel
Telegram