Anwar tegur Hadi jangan keluar kenyataan menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu



PUTRAJAYA: Perdana Menteri Anwar Ibrahim meminta Abdul Hadi Awang menghantar memorandum kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sekiranya tidak bersetuju dengan larangan ahli politik memberikan kuliah, ceramah agama dan khutbah Jumaat di seluruh masjid serta surau negeri itu.

Katanya, presiden PAS itu tidak perlu menyerang kerajaan kerana larangan itu juga terpakai kepadanya.

“Itu terpakai untuk semua…termasuk perdana menteri.

“Rasional (larangan) dibuat kerajaan negeri kerana terlalu banyak adegan bicara soal agama terlalu keras jalur politiknya (dan) fahaman kepartian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas berucap dalam perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan.


Sabtu lalu, Hadi menegaskan bukan menjadi satu kesalahan untuk ahli politik memberikan kuliah atau ceramah agama di seluruh masjid serta surau-surau.

Sebaliknya, menurut timbalan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, adalah menjadi satu kewajipan untuk pemimpin bercakap mengenai politik Islam.

Kenyataan Hadi sebagai respon kepada Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Shaikh Harun Shaikh Ismail yang mengeluarkan larangan ahli politik berceramah di masjid atau surau.

Dalam kenyataan Jumaat lalu, Shaikh Harun berkata ia bertujuan supaya semua tempat ibadat umat Islam di negeri itu tidak disalahgunakan untuk politik kepartian.


Sementara itu, Anwar berkata, beliau juga tidak berceramah atau menyampaikan tazkirah walaupun diminta oleh pihak masjid.

Beliau berkata, tindakan itu diambil kerana kerana menghormati keputusan dibuat pihak masjid.

“Saya pergi setiap masjid pada (setiap) Jumaat…memang diminta jawatankuasa masjid dan imam untuk sampaikan sedikit tazkirah sebelum selesai (solat) Jumaat.

“Tetapi saya hormati arahan jabatan agama atas keputusan Tuanku, saya mengelak maka saya salam sahaja,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Anwar juga mengingatkan Hadi supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Hadi berhubung PN berhak merancang merampas kerajaan.

“Itu tak apalah, itu naratif Hadi Awang.

“Saya nak ingatkan supaya kenyataan-kenyataan harus jaga supaya jangan menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya. – FMT



Join our Telegram Channel
Telegram