Mahkamah tegur Wan Saiful lewat hadir bicara kes rasuah



KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, yang berdepan dua pertuduhan rasuah ditegur hakim kerana lewat hadir dalam perbicaraan kesnya, hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob meminta penjelasan daripada bekas ketua penerangan Bersatu itu sejurus beliau tiba dengan sekumpulan penyokongnya.

“Mengapa anda lewat?” soal Rozina terhadap tertuduh yang berdiri dalam kandang saksi.

Wan Saiful berkata, beliau meninggalkan rumah pada 7.15 pagi dan menjangkakan tiba di mahkamah dalam tempoh 45 minit.


Sambil memohon maaf, katanya: “Perjalanan ke sini mengambil masa hampir dua jam hari ini. Saya tidak jangka trafik menjadi teruk hari ini.”

Rozina berkata, Wan Saiful sepatutnya merancang perjalanan dan berharap ia menjadi “pertama dan terakhir” (tiba lewat di mahkamah).

Pada 21 Feb, Wan Saiful minta dibicara di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi atas dakwaan menerima rasuah RM6.9 juta berkait inisiatif Jana Wibawa.

Beliau juga dituduh meminta jumlah tidak dinyatakan bagi projek jalan bernilai RM232 juta yang dikaitkan dengan program tersebut.


Azura kemudian menetapkan sebutan semula kes, pada hari ini.

Wan Saiful sepatutnya dijadual dituduh di hadapan Rozina, pada 21 Feb, namun hakim itu sedang bercuti.

Timbalan Pendakwa Raya Afif Ali memaklumkan Rozina beberapa dokumen yang diperlukan pihak pendakwaan dalam perbicaraan sudah diserahkan kepada peguam Wan Saiful.

“Baki yang lain akan diserahkan kepada mereka selepas memperoleh dokumen daripada bank dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” kata Afif, yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Murni Adzmi.


Peguam Rosal Azimin Ahmad, memaklumkan kepada hakim bahawa pihak pembelaan akan menghantar representasi ke Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan semakan pertuduhan selepas memperoleh semua dokumen berkenaan.

Peguam Cheetan Jethwani dan Amir Aizat Abdul Rani, juga hadir mewakili Wan Saiful.

Rozina berkata, beliau menetapkan jadual bicara bermula tiga bulan selepas tertuduh didakwa, dengan prosiding dijangka selesai dalam tempoh sembilan bulan.

“Itu adalah garis masa kita,” katanya.

Kes dijadual pada 8 Mei untuk sebutan semula. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram