Maszlee Malik kembali sebagai ahli akademik



PETALING JAYA: Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik kini kembali ke bidang akademik dan akan memberi syarahan di Universiti Cyberjaya.

“Saya akan memberi syarahan topik terpilih dalam bidang kemanusiaan dan berkaitan pendidikan,” kata bekas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu dalam catatan di Facebook.

Maszlee yang gagal mempertahankan kerusi Simpang Renggam pada PRU15 tewas kepada calon Barisan Nasional, Hasni Mohammad.

Penyertaan pertama Maszlee dalam politik adalah semasa PRU14 pada 2018 apabila beliau menyertai Bersatu, yang juga sekutu Pakatan Harapan ketika itu, dan merampas kerusi Simpang Renggam daripada Barisan Nasional.


Sebelum itu, beliau merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Maszlee dilantik sebagai menteri pendidikan selepas PH mendapat mandat membentuk kerajaan susulan kemenangannya ke atas BN pada PRU14.

Tempoh beliau sebagai menteri pendidikan dipenuhi dengan kontroversi seperti penggunaan kasut sekolah hitam dan pengajaran Jawi di sekolah vernakular.

Dua puluh bulan selepas pelantikannya, Maszlee meletak jawatan. Selepas kejatuhan kerajaan PH pada Feb 2020, Maszlee menentang keputusan Bersatu untuk membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional dan PAS selepas Langkah Sheraton..


Beliau kemudiannya dipecat daripada parti dan menjadi Ahli Parlimen bebas. Pada November 2021, beliau menyertai PKR selepas lebih setahun menjadi Ahli Parlimen Bebas yang mesra PH.

Ketika pilihan raya negeri Johor 2022, Maszlee bertanding di kerusi DUN Layang-Layang, namun tewas kepada calon BN Abd Mutalip Abd Rahim.

Maszlee juga telah menerbitkan pelbagai buku, kebanyakannya melibatkan subjek sains sosial dan politik Islam.

FMT telah menghubungi Maszlee untuk mendapatkan ulasan lanjut. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram