'Menteri, PM bukan dari parti dia, nak selesai masalah air Kelantan?'



Ada pemimpin parti politik berjanji menyelesaikan masalah air di Kelantan walaupun perdana menteri dan menteri alam sekitar dan air bukan daripada partinya, kata Ahmad Fadhli Shaari.

Meskipun tidak menyebutkan nama, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu dipercayai merujuk kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi yang berikrar mahu menyelesaikan masalah air di Kelantan.

"Ada pihak berjanji untuk selesaikan masalah air di Kelantan jika diberi mandat dalam PRN (pilihan raya negeri) nanti.

"Lupakah beliau bahawa menteri air bukan dari partinya, perdana menteri bukan dari partinya, menteri yang jaga kantung negara bukan dari partinya,” kata Ahmad Fadhli dalam hantaran di Facebook.


Terdahulu Ahmad Zahid berkata masalah bekalan air perkara wajib diselesaikan sekiranya Umno menang pada PRN di Kelantan.

“Bagi saya di Kelantan, masalah air mesti diselesaikan dan itu adalah janji Umno dan Barisan Nasional (BN). Dalam keadaan ini, pengundi Kelantan perlu membantu Umno untuk sekali ini.

“Cuba beri peluang untuk Umno hanya untuk lima tahun sahaja, jika dirasakan tidak okay, boleh tukar semula," kata Ahmad Zahid pada sidang media selepas majlis pengenalan calon-Calon pemilihan Umno sesi 2023-2026, di Kota Bharu, hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Fadhli membayangkan penyelesaian masalah air di Kelantan memerlukan perolehan kewangan yang besar.


“Bagaimana nak buat keputusan perolehan yang besar jika kesemuanya itu bukan dari partinya?

“Ataupun menteri tertentu guna kuasanya untuk bagi pengecualian?

"Adalah diramalkan Insya-Allah partinya tiada mendapat satu kerusi pun di Kelantan, Kedah, Terengganu, Selangor dan Pulau Pinang," tambahnya. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram