Muhyiddin akui sukar tidur malam



Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin - yang beberapa hari lalu berdepan dakwaan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram - mengakui dia sukar untuk tidur malam.

“Apabila saya membaca (berita) selepas pertuduhan, sukar untuk tidur malam. Isteri saya, di sebelah saya, sukar untuk tidur. Anak-anak saya risau… biasalah.

"Namun apabila saya baca, jika didapati bersalah atas pertuduhan ini saya akan dipenjarakan selama 20 tahun," katanya.

Pada 10 Mac lalu ahli parlimen Pagoh itu mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta.


Dia didakwa di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Azura Alwi.

Empat pertuduhan salah guna kuasa dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.

Dia didakwa menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri ketika itu untuk mendapatkan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Dua pertuduhan pengubahan wang haram pula dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) akta yang sama.


Muhyiddin yang juga pengerusi PN didakwa menerima RM120 juta hasil secara haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd antara 25 Feb 2021 dan 8 Julai 2022.

Tiga syarikat itu ialah Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu terbabit ialah Azman Yusoff.

Bercakap dalam ceramah PN di Taman Melewar, Batu Caves malam tadi Muhyiddin memberitahu, dia perlu meminjam wang daripada pihak lain untuk membayar ikat jamin sebanyak RM2 juta yang ditetapkan mahkamah.

Katanya kutipan derma yang dijalankan parti itu masih tidak mencukupi untuk jumlah yang diperlukannya bagi membayar wang ikat jamin sehingga dia terpaksa meminjam.


“Nasib baik mereka bagi pinjam wang itu, kalau tidak saya masih dalam penjara sampai sekarang,” katanya.

Dalam ucapan yang dibuat di bekas ibu pejabat PAS itu Muhyiddin juga sekali lagi mengulangi dakwaannya bahawa dia menjadi mangsa pendakwaan terpilih kerajaan.

Dia juga mendakwa kerajaan sekarang berasa terancam dengan "kejayaan" PN memenangi 74 kerusi parlimen dalam PRU yang berlangsung pada tahun lalu. – Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram