Muhyiddin didakwa terima hasil aktiviti haram RM5 juta, diwakili 9 peguam



Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM5 juta berkaitan dengan program Jana Wibawa.

Presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang memakai suit serba hitam didakwa semasa prosiding di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Rozilah Salleh pagi ini.

Pertuduhan pengubahan wang haram, yang dibentangkan di bawah Seksyen 4(1)(b) mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dibaca bersama Seksyen 87(1) akta yang sama.

Pemimpin berusia 76 tahun itu didakwa menerima RM5 juta hasil daripada daripada Bukhary Equity Sdn Bhd, yang disalurkan ke dalam akaun Bersatu, pada 7 Jan 2022.


Kesalahan itu didakwa dilakukan di AmBank cawangan Amcorp Mall, Jalan Persiaran Barat, Petaling Jaya, pada 7 Januari tahun lalu.

Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.

"Mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan," kata Muhyiddin.

Ahli Parlimen Pagoh itu boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram berkenaan dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi jika disabitkan kesalahan.


Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Akram Gharib memohon mahkamah supaya mengguna pakai ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan yang ditetapkan ke atas Muhyiddin di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur minggu lepas.

“Saya juga memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memandangkan ia berkait dengan perbicaraan di sana serta tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen tersebut sudah ditetapkan pada 26 Mei ini,” katanya.

Rozilah kemudian membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengguna pakai jaminan serta syarat tambahan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur iaitu tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah serta membenarkan kes itu dipindahkan ke mahkamah sama.

Selain Ahmad Akram, pendakwaan juga dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fadhly Mohd Zamry, Zander Lim Wai Keong, Kalai Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.


Muhyiddin pula diwakili sembilan peguam iaitu K Kumaraendran, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Amiratu Al Amirat Saleh Mohamed Garbaa, Mohd Isa Mohamad Basir, Shahir Ab Razak, Teh See Khoon, Varsha Chelvi dan Raja Syuhada Raja Khairuddin.

Sementara itu, wartawan Malaysiakini, Fion Yap melaporkan selepas keluar dari bilik mahkamah, Muhyiddin mengadakan sidang media yang ringkas.

“Saya telah dibacakan tuduhan yang ketujuh dan saya telah menyatakan saya tidak bersalah dan mohon supaya kes ini dibicarakan.

“(Mahkamah juga) ....bersetuju pindahkan kes ini ke mahkamah KL, akan ditetapkan masa untuk perbicaraan,” katanya sebelum bergegas meninggalkan kompleks mahkamah itu tanpa mahu menjawap sebarang soalan.


Presiden Bersatu itu tiba di kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, pada kira-kira pukul 8.20 pagi dengan ditemani isterinya, Noorainee Abdul Rahman serta beberapa pimpinan parti, Antaranya, adalah Ahmad Faizal Azumu, Ronald Kiandee dan Mohd Radzi Md Jidin.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin, 75, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas enam pertuduhan berkaitan wang dalam akaun Bersatu.

Dia mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan sebagai perdana menteri dan Presiden Bersatu telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pertuduhan sebagai presiden Bersatu telah menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta.

Hakim Azura Alwi kemudian membebaskan Muhyiddin dengan jaminan sebanyak RM2 juta bersama dua orang penjamin serta diperintah menyerahkan pasport antarabangsanya. – Mkini


 

Join our Telegram Channel
Telegram