Najib tiba di mahkamah untuk semakan keputusan kes SRC



PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Najib Razak tiba di Mahkamah Persekutuan bagi mendengar keputusan terhadap permohonannya untuk menyemak semula sabitan dan hukumannya dalam kes rasuah SRC International.

Beliau dilihat memasuki pekarangan di Mahkamah Persekutuan pada 8.36 pagi dengan diiringi polis dan pegawai Jabatan Penjara.

Isteri beliau Rosmah Mansor turut kelihatan, selain anak mereka Nooryana dan Nazifuddin.

Media dan penyokong Najib mula berkumpul di luar perkarangan Mahkamah Persekutuan seawal jam 7 pagi tadi bagi mengikuti rayuan terhadap sabitan dan hukuman bekas perdana menteri itu.


Dianggarkan lebih 100 orang penyokong Najib hadir bagi memberi sokongan.

Panel lima anggota diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Rahman Sebli dijangka memutuskan sama ada Mahkamah Tinggi akan menyemak keputusannya yang mengesahkan sabitan dan hukuman Najib dalam kes rasuah SRC International.

Hakim lain yang turut bersidang ialah Vernon Ong, Rhodzariah Bujang, Nordin Hassan dan Abu Bakar Jais.

Najib disabitkan kesalahan pada 28 Julai 2020 oleh Hakim Nazlan Ghazali, yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Kedua-dua sabitan dan hukuman dikekalkan, dengan yang pertama oleh Mahkamah Rayuan pada 8 Dis 2021, kemudian oleh panel lima hakim mahkamah tertinggi yang dipengerusikan oleh Tengku Maimun pada 23 Ogos tahun lepas.


Panel tersebut turut dianggotai Hakim Besar Sabah dan Sarawak ketika itu, Abang Iskandar Abang Hashim, serta Hakim Nallini Pathmanathan, Mary Lim dan Zabidin Diah.

Najib kini menjalani hukuman penjara, bermula 23 Ogos tahun lepas, setelah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya.

Dua minggu kemudian, pada 6 Sep, beliau memfailkan permohonan ini mengikut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995, memohon kebenaran mahkamah tertinggi untuk menyemak keputusannya.

Panel baharu, diketuai Rahman, mendengar hujah selama enam hari antara 19 Jan dan 28 Feb, dan menangguhkan kes itu ke hari ini untuk membuat keputusan. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram