Pakej Rahmah Haji tawar harga bawah RM50,000



SEPANG: Bakal jemaah haji tahun ini berpeluang mendapatkan Pakej Rahmah Haji ditawarkan pada harga bawah RM50,000 seorang oleh Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang diberikan lesen oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata perkara itu disambut baik oleh 23 PJH, malah ada yang menawarkan pakej pada harga antara RM43,000 dan RM45,000.

“Alhamdulillah dengan tawaran kurang daripada RM50,000 ini kita harap akan lebih ramai (jemaah haji) mengambil tawaran disediakan, Insya-Allah,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis pelancaran Karnival PJH 1444H/2023M bertema “Pilih Keselesaan, Pilih Pakej Haji” yang julung kali dianjurkan TH dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra Malaysia).

Turut dilancarkan Direktori PJH sebagai rujukan untuk bakal jemaah haji.

Na’im berkata, 23 PJH yang diberi lesen oleh TH memiliki kapasiti teguh, kepakaran dan pengalaman serta berwibawa dalam memberikan perkhidmatan terbaik dan bertanggungjawab menjaga kebajikan jemaah haji yang pergi sama ada secara muassasah atau pakej.


“Sejak beberapa tahun ini, banyak berita berkaitan penipuan pakej haji dan umrah dilaporkan pihak media. Kerajaan memandang serius dan bertekad menangani penipuan membabitkan jemaah yang ingin menunaikan ibadat haji ini,” katanya.

Beliau berkata, TH bekerjasama erat dengan polis serta syarikat berdaftar bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk menangani masalah itu.

Na’im juga menegaskan TH tidak pernah melantik mana-mana individu sebagai ejen dalam hal berkait tawaran dan pakej haji, justeru individu atau syarikat menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan TH boleh dikenakan tindakan undang-undang bawah Akta Tabung Haji 1995. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram