Shuk Sahar, isteri bercerai



KUALA LUMPUR: Pelawak Shuk Sahar mengesahkan bercerai dengan isteri, Rossa Sera, selepas lebih setahun status rumah tangga mereka mencetuskan tanda tanya.

Shuk atau nama sebenar, Mohammad Shukri Mohamed Sahar, 36, memberitahu, dia melafazkan cerai talak satu terhadap Sera di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 22 Mac lalu.

"Kami sah bercerai pada 22 Mac lalu dengan talak satu. Selepas pulang umrah bersama, kami duduk dan berbincang secara baik sebelum mengambil keputusan bercerai.


"Jadi, kami berpisah secara baik," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, Shuk memaklumkan, keputusan untuk berpisah itu dibuat atas persetujuan bersama selepas mereka pulang daripada mengerjakan umrah, Januari lalu.

Ditanya hubungan dengan Sera, Shuk berkata, mereka terus berbaik demi membesarkan anak-anak.

"Sekarang fokus saya kepada anak-anak. Mereka menetap di Sabah bersama ibu Sera sebab anak sulung sudah mula bersekolah.


"Ini adalah pengajaran untuk saya memperbaiki diri. Selama ini kita cuba cari haluan masing-masing untuk perbetulkan diri sendiri.

"Semoga saya menjadi orang yang lebih pada masa akan datang," katanya.

November tahun lalu, Sera memfailkan perceraian terhadap Shuk selepas pelawak itu didakwa curang.

Shuk dan Sera mendirikan rumah tangga pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata, Nur Qurratu Ain, 6 dan Nur Assyifatu Aimi, 3. − Bharian



Join our Telegram Channel
Telegram