Zakir tak ditahan di Oman, selamat sampai di Doha



KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Dr Zakir Naik yang didakwa diburu oleh kerajaan India ketika berada di Oman telah selamat mendarat di Doha, Qatar.

Perkara itu disahkan oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang memaklumkan Zakir berada di negara itu pagi ini.

“Dr Zakir Naik baru menghantar mesej kepada saya memaklumkan beliau selamat mendarat di Doha, Qatar awal pagi tadi. Alhamdulilah.


“Berita ini sekaligus membuktikan bagaimana media India berkali-kali berbohong mengenai isu Dr. Zakir Naik. Harap media kita di Malaysia berhati-hati dalam memetik sumber berita dari media India,” katanya.

Sebelum ini, beberapa portal berita tempatan melaporkan, Zakir akan ditahan dan diusir dari Oman untuk dihantar pulang ke India.

Menurut laporan media India News18, agensi risikan India bekerjasama dengan pihak berkuasa Oman untuk menahan Zakir ketika lawatannya ke negara itu.

Zakir dijemput untuk menyampaikan dua ceramah di negara itu dengan ceramah pertama dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Agama Oman.


Manakala ceramah kedua dijadualkan di Universiti Sultan Qaboos pada petang 25 Mac.

Sebuah portal berita melaporkan, peguam Zakir Naik, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, pendakwa itu akan kembali ke negara Malaysia dalam masa terdekat selepas selesai beberapa program di Oman.

Zakir yang kini berada tinggal di Malaysia mendapat suaka politik dan status penduduk tetap pada 2016 ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.

Beliau berdepan dakwaan mahkamah di India berhubung pengubahan wang haram, menyokong aktiviti keganasan dan mencetuskan ketegangan agama.


Kerajaan India pernah menghantar permohonan rasmi bagi mengekstradisinya pada Januari 2018.

Pada 9 Ogos 2020, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan  tidak akan mempersetujui permintaan India untuk mengekstradisi Dr Zakir.

Ini kerana keadaan di India berkaitan dengan hubungan Muslim-Hindu tidak begitu baik. − MG



Join our Telegram Channel
Telegram