PETALING JAYA: Dua wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) menolak pelawaan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh menyertai kerajaan negeri pimpinannya.
Adun Bemban yang juga ketua pembangkang Melaka, Yadzil Yaakub dan Adun Sungai Udang, Aleef Yusof kekal dengan prinsip menjadi pembangkang berwibawa, dengan menjadi semak dan imbang kepada kerajaan negeri.
“Saya dan Adun Sungai Udang akan kekal berada di blok pembangkang. Bukan soal macam mana kami nak lawan, tapi janganlah takut kepada kami, kepada pembangkang yang hanya berdua,” katanya dalam catatan di Facebook.
Semalam, Rauf dilaporkan berharap dua Adun PN akan menyertai kerajaan perpaduannya, sebelum Enakmen Anti Lompat Parti dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Julai ini.
Katanya, jika dua Adun itu bersetuju menyertai kerajaan negeri pimpinannya, ia bakal mencatat sejarah sebagai negeri pertama sifar pembangkang.
Dalam perkembangan lain, Yadzil menyifatkan pelantikan timbalan exco Melaka merupakan pembaziran.
“Kerajaan Melaka sendiri dari peringkat awal tidak mampu menyediakan peruntukan hanya kepada dua Adun pembangkang, tetapi melantik (10) timbalan exco, menjadikan 21 daripada 28 Adun (menyertai kerajaan), yang mustahil tanpa belanja tambahan.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel