Cikgu renang mengaku 32 pertuduhan rogol, amang seksual, seks guna objek terhadap anak tiri



MELAKA – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas 32 pertuduhan iaitu merogol, melakukan amang seksual dan menggunakan objek bagi tujuan seksual terhadap anak tirinya yang kini berusia 16 tahun tiga tahun lalu.

Dalam dua prosiding berasingan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Hakim Hakim Darmafikri Abu Adam bagaimanapun menetapkan 15 Mei depan bagi meneliti fakta kes dan jatuh hukum terhadap tertuduh yang berusia 36 tahun.

Tertuduh juga tidak dibenarkan ikat jamin kerana kesalahan bagi tujuan melindungi mangsa dan memastikan kehadiran tertuduh yang berdepan hukuman sebatan dan penjara maksimum 830 tahun bagi kesemua pertuduhan.


Terdahulu, dalam kedua-dua prosiding tertuduh yang bekerja sebagai pengajar kelas renang itu mengaku bersalah atas semua 32 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan rogol di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Lelaki itu turut mengaku salah melakukan 12 perbuatan amang seksual mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan lapan pertuduhan melakukan hubungan seks menggunakan objek di bawah Seksyen 377 CA KK.

Semua perbuatan itu dilakukan terhadap seorang kanak-kanak berusia yang kini berusia 16 tahun antara Januari 2020 hingga 14 Mac 2023 di sebuah rumah di Taman Maju Jasin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Nazrin Ali Rahim dan Timbalan Pendakwa Raya, N. Sivashangari bagaimanapun tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana tertuduh telah mengaku bersalah selain bagi tujuan melindungi mangsa.


Sepanjang prosiding, tertuduh yang berambut panjang dan memakai baju T berwarna hitam hanya tunduk dan mengaku bersalah bagi semua pertuduhan tanpa mengemukakan sebarang rayuan meringankan hukuman.

Seksyen 376 (1) KK memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan manakala Seksyen 376 (2) pula penjara tidak kurang 10 tahun dan maksimum 30 tahun berserta sebatan.

Manakala Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 pula boleh dipenjara hingga 20 tahun dan sebatan

Bagi setiap kesalahan melakukan seks menggunakan objek pula mengikut Seksyen 377CA Kanun KK pula jika, sabit kesalahan boleh dipenjara minimum lima tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan.


MalaysiaGazette pada 9 April lalu melaporkan sepasang suami isteri direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan yang juga anak tiri kepada lelaki berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Pasangan itu ditahan sejurus tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 kira-kira pukul 9.30 malam sebelumnya.

Isteri tertuduh yang merupakan penjual nasi lemak berusia 40 tahun turut direman sehingga esok untuk menjadi saksi pendakwaan.

Penahanan dibuat selepas mangsa yang sebelum ini dilaporkan hilang di Jasin dan merupakan anak kandung kepada wanita itu membuat laporan menjadi mangsa rogol bapa tirinya itu sejak tiga tahun lalu


Wanita itu yang bekerja sebagai peniaga nasi lemak juga ditahan kerana dipercayai turut mengetahui perbuatan suaminya itu.

Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja perempuan hilang dari rumahnya di Jasin namun berjaya ditemui semula dalam keadaan selamat Rabu lalu selepas lebih dua minggu dilaporkan hilang. – MG


ARTIKEL BERKAITAN:


Join our Telegram Channel
Telegram