Lelaki rogol anak tiri di rumah lama dalam kebun sawit ditahan



Tawau: Polis menahan lelaki warga asing selepas disyaki merogol anak tirinya yang berusia 12 tahun dalam kejadian di sebuah rumah lama dalam kebun sawit, dekat Merotai di sini, 7 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 32 tahun ditahan 9.50 malam, kelmarin (Sabtu).

Menurutnya, tangkapan suspek dibuat dalam tempoh kurang 24 jam susulan laporan oleh ahli keluarga mangsa di Balai Polis Desa Kencana, Lahad Datu, jam 12.01 tengah malam, hari sama.


"Berdasarkan laporan, mangsa yang tinggal bersama suspek sejak 5 Mac lalu menceritakan kejadian rogol itu kepada kakaknya yang tinggal di Felda Sahabat 20, Lahad Datu, menerusi WhatsApp.

"Mangsa mendakwa dirogol suspek pada 7 Mac lalu dan turut diugut akan dipukul atau dicederakan sekiranya mangsa memberitahu kejadian itu kepada sesiapa," katanya ketika dihubungi di sini, pagi ini.

Jasmin berkata, bertindak atas laporan itu, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Bombalai membuat serbuan dan menahan suspek di sebuah kebun sawit milik persendirian di Merotai, jam 9.50 malam.


Katanya, suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau pagi ini untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Mangsa akan dirujuk ke Hospital Tawau untuk pemeriksaan selanjutnya," katanya. − Hmetro



Join our Telegram Channel
Telegram