Nekad bakar diri, malu tiga kali gagal ujian undang-undang



SEGAMAT: Seorang pemuda nekad menyiram petrol dan membakar dirinya di sebuah stesen minyak di Jalan Ibrahim, di sini kelmarin kerana malu selepas tiga kali gagal dalam ujian undang-undang yang didudukinya.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihaknya menerima satu laporan  menyatakan seorang lelaki telah menyiramkan minyak petrol pada tubuhnya serta membakar diri sendiri.

“Mangsa adalah seorang lelaki berumur 24 tahun telah menggunakan pemetik api selepas menyiram petrol ke atas dirinya di pam 3, stesen minyak berkenaan pada pukul 8 malam, 17 April lalu.

“Pemilik stesen minyak tersebut telah berjaya memadamkan api dan menyelamatkan mangsa dengan menggunakan pemadam api.


“Namun, mangsa kemudiannya berlari ke arah Jalan Seremban-Johor Bahru dan cuba membunuh diri sekali lagi dengan cara duduk di tengah jalan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seorang pemandu lori yang melalui jalan tersebut berjaya menghentikan kenderaannya apabila nampak kelibat orang di tengah jalan, namun malangnya sebuah kereta  Proton Wira gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut.

“Mangsa dalam keadaan melecur hampir seluruh badan telah dihantar ke hospital Segamat menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan.

“Keterangan awal mangsa mendapati punca cubaan bunuh diri disebabkan mangsa telah gagal melepasi ujian ‘Bachelor of Law’ buat kali ketiga. 

“Mangsa berasa malu kepada ahli keluarganya lalu mengambil keputusan untuk bunuh diri. Namun, pihak polis masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti kesahihan maklumat tersebut,” katanya.



Mangsa kini menerima rawatan di Hospital Segamat dan sebanyak 70 peratus badannya melecur.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman  penjara sehingga satu tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes itu boleh 

menyalurkannya ke Pusat Kawalan Daerah Segamat menerusi talian hotline 07-9324222. – Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram