Petisyen Pengampunan Najib kena ikut giliran, kata sumber



KUALA LUMPUR – Persoalan berhubung petisyen bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap hukuman penjara dan denda tidak dibincangkan dalam Lembaga Pengampunan.

Difahamkan, ketika persidangan hari ini, petisyen pengampunan terhadap Najib itu tidak dibentang oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia lembaga terbabit.

Malah menurut sumber kepada MalaysiaGazette, sehingga petang tadi ramai dalam kalangan keluarga dan penyokong Najib ternanti-nanti sama ada perkara itu dibincangkan atau tidak.

Namun sumber itu telah difahamkan Persidangan  Lembaga Pengampunan yang bermula pukul 11 pagi itu telah dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak membincangkan perkara itu.


“Kita dapat tahu sidang hari ini tidak membincangkan petisyen Najib kerana kes sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya kerana menyeleweng dana SRC International itu baru difailkan.

“Petisyen itu ikut giliran, persidangan telah berbincang kes-kes terdahulu. Kita tunggu juga jika ada berita baik tetapi tidak ada, kecewa sedikit dan sedih,” kata sumber itu kepada MalaysiaGazette.

Setakat artikel ini ditulis, belum ada apa-apa kenyataan rasmi daripada pihak berwajib.

Malah desas desus itu bertambah kuat apabila anak perempuan Najib, Nooryana Najwa memaklumkan keluarganya masih menunggu maklumat sama ada Lembaga Pengampunan yang bersidang hari ini membincangkan permohonan tersebut sebentar tadi.


Untuk makluman Najib sudah memfailkan petisyen pengampunan dan memaklumkan menerima serahan beberapa dokumen, antaranya salinan permohonan pengampunan mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, bertarikh 1 September tahun lalu.

Manakala pada penghakiman pada 31 Mac lalu, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 4-1, menolak permohonan Najib menyemak semula sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli, mempengerusikan panel lima hakim terbabit yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rhodzariah Bujang; Datuk Nordin Hassan dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat serta Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Dalam permohonan itu, Najib, 69, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang memohon membatalkan keputusan yang dibuat panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lalu.


Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu kemudiannya dikekalkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang pada 9 Disember 2021.

Pada 7 April lepas, Majlis Kerja Tertinggi UMNO pula membuat ketetapan memohon ihsan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia sebagaimana kuasa diperuntukkan mengikut Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan. – MG



Join our Telegram Channel
Telegram