Salahuddin minta penyokong Najib hormati keputusan Lembaga Pengampunan



ALOR SETAR: Semua pihak termasuk penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dirayu agar bertenang serta menerima dengan hati terbuka apa jua keputusan Lembaga Pengampunan.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub, berkata ini kerana setiap persidangan lembaga itu adalah mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara.

"Kami juga pernah duduk di bahagian pembangkang dulu, pernah juga mengalami pelbagai apa hukuman. Kita lalui proses ini. Saya rasa kita harus bertenang, semua pihak juga melalui proses ini, negara kita ada undang-undang. Kita negara hukum, kena ada undang-undang.


"Semua pihak perlu bertenang termasuk penyokong beliau dan kita patuh. Kita akur kepada setiap apa yang berlaku yang akan diputuskan oleh pihak-pihak yang tertentu mengikut Perlembagaan dan undang-undang negara," katanya ketika ditemui selepas program sumbangan Bakul Rahmah di Kubang Rotan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Salahudin berkata, parti itu berkeyakinan bahawa setiap parti dan individu yang sudah dijatuhkan hukuman masih mempunyai ruang undang-undang mengikut Perlembagaan untuk mereka merayu.

"Jadi bagi AMANAH jelas bahawa walaupun hari ini berlaku kepada Datuk Seri Najib yang memohon pengampunan, bagi saya biarlah undang-undang itu yang menentukan.

"Itulah hak bagi setiap rakyat negara kita. Apa jua keputusan Lembaga Pengampunan ia adalah hak mutlak Yang di-Pertuan Agong. Jadi kita serahkan perkara itu kepada perundangan, dalam kata lain biar perundangan menentukan," katanya.



Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad, parti itu berpendirian, hanya dengan cara itu sahaja nama baik negara dan komitmen untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dapat dijaga.

Bagaimana pun, hari petang tadi, BH melaporkan Lembaga Pengampunan yang bersidang jam 11 pagi tadi tidak membincangkan permohonan petisyen bekas Perdana Menteri itu. − Bharian



Join our Telegram Channel
Telegram