Pengampunan Najib: UMNO perlu hormat pendirian Amanah



SHAH ALAM – UMNO perlu menghormati pendirian Parti Amanah Negara (Amanah) mengenai isu pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad menegaskan, dasar hormat menghormati dan kesepakatan untuk memelihara negara perlu diberi keutamaan berbanding perbezaan pendapat berhubung isu-isu khusus seperti pembebasan bekas Presiden UMNO itu.

“Kita akui Najib adalah individu berjasa bagi UMNO, jadi kita menghormati pendirian mereka (gesaan membebaskan Najib).

“Tetapi mereka (UMNO) perlu menghormati pendirian kita yang berbeza (iaitu) untuk tidak mengampunkan Najib,” katanya memetik laporan Harapan Daily.


Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyifatkan Amanah sebagai parti ‘kawan makan makan’ susulan kenyataan Khalid yang merayu agar Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak pengampunan ke atas bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Dalam pada itu Khalid menjelaskan, pendirian Amanah yang menolak pengampunan diraja ke atas Najib tidak seharusnya menjejas kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, prinsip 'agree to disagree' perlu dirai memandangkan kerajaan yang terbentuk hari ini terdiri daripada beberapa parti yang mempunyai perbezaan pemahaman politik.

Jelasnya, prinsip itu diperlukan bagi mengukuhkan kerjasama dan kesepakatan untuk memulihkan negara.


“Kerjasama ini terdiri daripada pelbagai parti dan kita berkongsi satu citra yang lebih besar iaitu pentadbiran yang bersih, cekap dan berkesan serta keselesaan rakyat.

“Oleh itu, persamaan tersebut perlu mengatasi perbezaan dalam isu-isu tertentu,” tegasnya.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu turut memohon maaf sekiranya pandangan Amanah terhadap isu pengampunan Najib menyebabkan segelintir ahli UMNO rasa terkilan, namun menyifatkan perkara berkenaan adalah hakikat yang diketahui umum.

"Bukan niat saya untuk melukakan hati mana-mana pihak tetapi sekadar menyatakan pandangan kami dalam isu yang penting ini,” ujarnya. − Sinar



Join our Telegram Channel
Telegram