Pengampunan Najib: Amanah mohon maaf kepada UMNO



KUALA LUMPUR : Parti Amanah (Amanah) menzahirkan permohonan maaf susulan kenyataan Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad, mengenai isu pengampunan diraja terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu terbabit.

"Sempena Aidilfitri ini, saya bagi pihak Amanah memohon maaf atas kenyataan yang baru-baru ini dikeluarkan Pengarah Komunikasi... sekiranya kenyataan itu menyinggung atau melukakan UMNO, maka kami minta maaf.


"Sebarang keterlanjuran itu, biasalah bagi orang politik, kadang-kadang kita terlanjur dan tidak ada malu untuk kita memohon maaf sekiranya ia melukakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria di Putrajaya pada Sabtu.

Sebelum ini, Khalid dilapor mengeluarkan kenyataan merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya menolak permohonan pengampunan terhadap Najib.


Beliau dalam satu kenyataan lain kemudian berkata, UMNO perlu menghormati pendirian Amanah berhubung isu pengampunan Najib.

Katanya, pendirian Amanah itu tidak seharusnya menjejaskan kesepakatan Kerajaan Perpaduan. − Awani



Join our Telegram Channel
Telegram