Tengku Maimun terima laporan penuh siasatan SPRM sebelum semakan kes SRC ditolak



KUALA LUMPUR – Laporan penuh siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesahkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah melanggar Kod Etika Hakim 2009 bukan lagi rahsia.

Malah surat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkenaan perkara itu yang bertarikh 20 Februari 2023 kini sudah tular di media sosial.

Lebih memeranjatkan laporan itu telah diterima Tengku Maimun sebelum semakan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta, Jumaat lalu.


Menurut laporan itu, SPRM pada Februari lalu memaklumkan satu laporan terhadap Mohd Nazlan sudah dikemukakan kepada Ketua Hakim Negara berhubung pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009.

Laporan penuh siasatan SPRM itu dikongsi oleh pemilik akaun Facebook, Lim Sian See dan sebuah portal iaitu Sabahkini.

Berdasarkan maklumat salinan dokumen tersebut, Ketua Pesuruhjaya SPRM mengesyorkan kepada Ketua Hakim Negara mengambil tindakan tatatertib terhadap Mohd. Nazlan di bawah Kod Etika Hakim 2009.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan, Suruhanjaya ini berpendapat terdapat isu salahlaku yang perlu dipertimbangkan oleh YAA Tun yang telah dilakukan oleh YA Dato’ Mohd Nazlan Bin Mohd Ghazali di bawah Kod Etika Hakim 2009 ketika beliau membuat keputusan ke atas ketiga-tiga kes yang didengari.


“Fakta bagi siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya ini turut dilampirkan bersama dengan surat ini iaitu Laporan SPRM Kepada Ketua Jabatan Mengenai Pelanggaran Tatakelakuan,” kata laporan itu yang tular di media sosial, hari ini.

Mohd. Nazlan merupakan hakim yang mengadili kes SRC International bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 28 Julai 2020.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai ketua bahagian undang-undang Maybank Investment mulai 2005 hingga 2015 dan dikatakan terlibat dalam proses kelulusan pinjaman melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Peraturan 8(1)(a) Kod Etika Hakim 2009 menyatakan, seorang hakim hendaklah memastikan bahawa semua aktiviti luar kehakimannya tidak menimbulkan keraguan munasabah tentang keupayaan bertindak dengan saksama sebagai seorang hakim. – MG










Join our Telegram Channel
Telegram