Tular surat laporan siasatan hakim Mohd Nazlan



KUALA LUMPUR - Surat yang didakwa berkaitan laporan penuh siasatan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, berhubung pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009, telah tular di media sosial.

Surat dipercayai daripada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat itu bertarikh pada 20 Februari lalu.

Laporan itu telah diterima Tengku Maimun sebelum semakan sabitan dan hukuman terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta, Jumaat lalu.

Menurut laporan itu, SPRM pada Februari lalu memaklumkan satu laporan terhadap Mohd Nazlan sudah dikemukakan kepada Ketua Hakim Negara berhubung pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009.


Laporan SPRM itu turut dikongsi oleh sebuah portal berita.

Berdasarkan maklumat salinan dokumen tersebut, Ketua Pesuruhjaya SPRM mengesyorkan kepada Ketua Hakim Negara mengambil tindakan tatatertib terhadap Mohd. Nazlan di bawah Kod Etika Hakim 2009.

Pada 24 Februari, media melaporkan Panel tujuh anggota Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa siasatan oleh SPRM terhadap Mohd Nazlan dilakukan tanpa mengambil kira aspek berkaitan kebebasan kehakiman, dan tidak mengikut protokol.

Tengku Maimun yang mengetuai panel itu dilaporkan berkata, cara penyiasatan dijalankan ke atas Mohd Nazlan dengan menghebahkannya melalui kenyataan akhbar, kelihatan tidak menjaga keyakinan terhadap kebebasan badan kehakiman.

Beliau berkata, siasatan terhadap Mohd Nazlan yang dilakukan tanpa rundingan dengan badan kehakiman juga menimbulkan keraguan sama ada siasatan terhadapnya dilakukan secara bona fide ​​(dengan niat baik).


Mohd Nazlan ialah hakim yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib, selepas beliau yang ketika itu hakim Mahkamah Tinggi, mendapati bekas perdana menteri bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan dana RM42 juta milik syarikat pelaburan strategik negara, SRC International Sdn Bhd.

Pada 23 Februari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dilaporkan berkata satu laporan SPRM terhadap Mohd Nazlan sudah dikemukakan kepada Tengku Maimun berhubung perkara tersebut.

SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan, susulan laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tidak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.

Pada 29 September tahun lalu, SPRM mengesahkan sudah menyelesaikan kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan dan hanya menunggu arahan yang akan diberikan Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya. − FMT










Join our Telegram Channel
Telegram