Air Kelantan: MB pertahan pemberian sagu hati RM10,000 kepada ahli lembaga pengarah, RM200 kepada kakitangan biasa



Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob mempertahankan pemberian sagu hati Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) kepada ahli-ahli lembaga pengarah dan kakitangan syarikat kerajaan negeri itu.

Menurutnya setiap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berhak memberi sumbangan ahli lembaga pengarah.

“Saya lihat dari segi mana-mana GLC atau syarikat berhak untuk memberi apa-apa sumbangan kepada ahli lembaga pengarahnya.


“Jadi kemungkinan inilah (keputusan) yang diambil oleh AKSB, itu jawapan ambo (saya) doakan yang terbaik walaupun menghadapi masalah,” katanya ketika diminta mengulas berhubung isu pemberian sagu hati Aidilfitiri oleh kakitangan AKSB termasuk ahli lembaga pengarah.

Dia berkata demikian selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Dapur Hijau Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan notis kelulusan pemberian sagu hati AKSB itu tersebar di media sosial sekali gus mengundang kritikan pelbagai pihak.

Berdasarkan notis itu ahli lembaga pengarah dipercayai seramai sembilan orang menerima sagu hati Aidilfitri RM10,000 setiap seorang, manakala setiausaha syarikat diberikan RM2,000 dan kakitangan sebanyak RM200.


AKSB menjelaskan pemberian sagu hati Aidilfitri yang diberikan itu bagi bagi membantu meringankan beban warga syarikat menyambut hari raya dan dibuat mengikut prosedur tadbir urus kewangan.

Sementara itu ditanya mengenai dakwaan wujudnya tunggakan bil elektrik AKSB bernilai RM35 juta, Ahmad berkata dia perlu merujuk perkara itu kepada pihak pengurusan syarikat berkenaan.

“Itu saya terpaksa minta maklumat daripada pengurus besar dan pengerusi ahli lembaga pengarah AKSB,” katanya ringkas. − Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram