Anak Annuar beri ‘bayangan’ tak ikut masuk PAS



PETALING JAYA: Anak Annuar Musa memberi “bayangan” perlu membuat keputusan dan pilihan sendiri apabila sudah matang, tanpa menjadi “guru” yang pernah mengajarnya.

Menerusi hantaran di Facebook, Afiq Amani Annuar yang juga ketua Pemuda Umno Ketereh, berkata setiap insan adalah “berbeza” setiap pendirian dan keputusan diambil mereka.

“Apabila berguru, kita turuti mereka untuk menuntut ilmu, tetapi sampai satu masa, kita perlu membuat keputusan dan pilihan sendiri apabila sudah matang, tak semestinya kita jadi guru kita.


“Setiap insan berbeza, mungkin kita silap dan mungkin kita jadi lebih baik dengan keputusan yang kita ambil. Itulah kehidupan, kita hanya boleh lakukan yang terbaik dan berdamai dengan pilihan diri sendiri,” katanya dalam hantaran itu.

Semalam, bapanya yang juga bekas Ahli Parlimen Ketereh mengesahkan telah menghantar borang permohonan menyertai PAS, bulan lalu.

Beliau turut mendakwa akan membawa lebih 1,000 ahli Umno bersamanya menyertai parti itu.


Bagaimanapun, Umno Kelantan menyarankan Annuar mengajak anaknya menyertai PAS terlebih dahulu sebelum berkempen kepada orang lain supaya mengikut jejaknya.

Ketua penerangannya, Zawawi Othman, berkata dengan cara itu pihak lain akan menyakininya untuk bersama meninggalkan Umno dan menyertai PAS. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram