FamilyMart henti jual minuman alkohol di 360 kedai sejak Mac



PETALING JAYA: FamilyMart Malaysia telah menghentikan penjualan minuman alkohol di semua 360 kedainya bagi memberikan keyakinan tambahan kepada pelanggannya.

Pengarah Urusan QL Maxincome Sdn Bhd, Chia Lik Khai, berkata usaha berkenaan dilaksanakan sejak Mac lalu dalam memastikan pelanggan berbelanja dan menjamu selera tanpa was-was di premis mereka.

“Minuman alkohol adalah penyumbang kecil dalam perniagaan kami setakat ini. Jadi, kami menjangkakan kesannya adalah amat minimum dan kami menumpukan perbelanjaan kepada makanan dan minuman untuk menampung jualan,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengumuman produk FamilyMart Malaysia iaitu FamiCafé di Menara U, di Shah Alam yang mendapat pensijilan halal pertama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), menjadikan kafe kedai serbaneka pertama di Malaysia menerima pengiktirafan itu.

Memetik Bernama, Chia berkata, konsep disahkan halal ini menyajikan minuman dan makanan yang sedia untuk dimakan termasuk oden, snek panas seperti chiki katsu rangup dan sosej (corndog), serta sofuto.

Katanya, sehingga kini terdapat 16 FamiCafé di Malaysia, dengan sasaran untuk membuka 50 FamiCafé menjelang akhir tahun ini selain menyasarkan status halal untuk 300 FamiCafé menjelang 2025.


Selari dengan usaha berterusan dalam memastikan para pelanggan berbelanja dan menjamu selera tanpa was-was, Chia berkata, FamilyMart akan menjalani audit halal secara berperingkat mengikut panduan Jakim dan prosesnya telah bermula di dua kedai lain yang terletak di sekitar Lembah Klang.

Selain itu, katanya pusat penyediaan makanan FamilyMart Malaysia yang dikendalikan QL Kitchen telah diiktiraf halal sejak 2019 dan setakat 30 April lalu, 172 produk makanan jenama FamilyMart didaftarkan halal di portal halal rasmi Jakim.

QL Maxincome Sdn Bhd merupakan pemegang francais kafe kedai serbaneka FamilyMart Malaysia. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram