Gereja, paderi tarik balik semakan kehakiman kes kalimah Allah



KUALA LUMPUR – Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) dan paderinya, Jerry A. Dusing bertindak menarik balik semakan kehakiman penggunaan kalimah Allah yang difailkan pada sekitar Disember 2007.

Tindakan ini dipercayai selepas kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik rayuan berhubung penggunaan kalimah Allah itu.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan mengesahkan perkara itu  kepada media hari ini.


Gereja SIB dan Jerry memfailkan semakan kehakiman terhadap KDN dan kerajaan berhubung hak mereka untuk menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada Tuhan dalam penerbitan keagamaan mereka.

Mereka telah memohon diisytiharkan mempunyai hak di sisi undang-undang untuk menggunakan kalimah Allah dalam injil Kristian terjemahan bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia dan dalam semua penerbitan dan bahan keagamaan mereka.

Selain itu, SIB dan paderi itu mencabar tindakan Jabatan Kastam merampas buku yang dibawa masuk dari Surabaya, Indonesia, di Terminal Penerbangan Tambang Rendah di Sepang pada 15 Ogos, 2007.

Buku itu kemudian dikembalikan kepada gereja itu pada 25 Januari 2008.


Pada 18 April lalu, KDN dan Kerajaan Malaysia menarik balik rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka.

Untuk makluman pada 5 Mei 2014, Mahkamah Tinggi menolak permohonan SIB untuk mendapatkan semakan kehakiman bagi mencabar perintah KDN yang melarang pengimportan buku Kristian mengandungi kalimah ‘Allah’.

Namun pada 1 Oktober 2014, Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada gereja itu untuk memulakan semakan kehakiman itu selepas membenarkan rayuan gereja dan Jerry. − MG



Join our Telegram Channel
Telegram