Isu azan: Polis panggil JMB, pengurusan surau beri keterangan



Polis memanggil badan pengurusan bersama (JMB) sebuah kondominium di Tanjung Tokong, Pulau Pinang dan pengurusan surau untuk diambil keterangan berhubung pertikaian isu azan di situ.

Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin berkata, polis cuba menggunakan cara diplomatik memandangkan ia melibatkan isu agama yang sensitif.

"Kita cuba selesaikan isu ini secara harmoni namun isu ini masih dalam tindakan kita,” dia dipetik sebagai berkata oleh Sinar Harian.

Ditemui selepas sidang media di ibu pejabat polis (IPK) Kontinjen Pulau Pinang, dia berkata semua pihak sedang mencari penyelesaian terbaik.


“Setakat ini, tiada isu perkauman, semuanya baik-baik sahaja.

"Semua orang boleh hidup dalam aman damai, harmoni, itu yang lebih mustahak," katanya.

Beberapa hari lalu tersebar video yang mendakwa Surau Saidina Umar di Tri Pinnacle dilarang menggunakan pembesar suara untuk azan, di samping dialog tegang antara pihak surau dan JMB.

Pengerusi surau itu Muhammad Nasir Abd Majid memberitahu Malaysiakini bahawa mereka dilarang menggunakan speaker di luar surau bagi mengurangkan bunyinya.


Malaysiakini telah cuba menghubungi pihak JMB sejak semalam tetapi tidak berjaya. 

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman dijadual turun padang petang ini dan mengadakan sidang media di surau itu.

Sementara itu, Sinar Harian juga melaporkan bahawa surau tersebut terletak kira-kira 200 meter dari satu daripada tiga blok di pangsapuri itu.

Media itu juga difahamkan terdapat empat pembesar suara di itu–dua yang kecil di dalam surau manakala dua lagi yang besar di luar surau. − Mkini







Join our Telegram Channel
Telegram