KJ tolak tawaran Muhyiddin, bukan saya kata 'no', perlu lebih masa



Bekas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin berkata dia memerlukan lebih banyak masa untuk mempertimbangkan tawaran menyertai parti politik.

Khairy berkata dia tidak mahu tergesa-gesa membuat keputusan hanya kerana enam pilihan raya negeri (PRN) semakin hampir.

"Apabila kita ada peluang kedua untuk pilih parti politik, saya tidak ambil keputusan ini dengan ringan. Saya tak mahu buat keputusan hanya kerana PRN semakin hampir.

"Saya mahu pilih dengan rela hati sebab parti itu mewakili nilai saya dan pendirian politik saya," katanya semasa podcast Keluar Sekejap petang tadi.


Dia berkata demikian ketika mengulas mengenai tawaran terbuka Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin agar bekas ahli parlimen Rembau itu menyertai parti mereka dan menjawat jawatan ahli majlis tertinggi.

Khairy berkata jika dia membuat keputusan mengenai perkara itu, dia akan menyampaikannya kepada Muhyiddin secara peribadi terlebih dahulu.

"Bukan saya kata 'no' (tidak) kepada tawaran Muhyiddin, tapi saya nak jelaskan, bahawa ini satu keputusan yang sukar yang perlu dibuat," katanya.

Khairy berkata dia juga telah menerima tawaran untuk menyertai parti politik lain, tetapi terpulang kepada parti itu untuk mendedahkan jemputan itu kepada umum.


Bekas menteri kesihatan itu dipecat daripada Umno pada Januari, yang dilihat sebagai antara langkah menyingkirkan pesaing presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Khairy sebelum ini berkata dia telah merancang untuk berehat panjang daripada politik.

Bagaimanapun, menurutnya, sebagai ahli politik sentiasa ada godaan untuk kembali ke gelanggang, terutama apabila ahli politik lain mendorong mereka untuk berbuat demikian.

Ditanya pengacara bersamanya, Shahril Hamdan - yang digantung keahlian Umno selama enam tahun - sama ada dia akan bertanding dalam enam PRN akan datang, Khairy berkata dia masih belum membuat keputusan. − Mkini



Join our Telegram Channel
Telegram