Mengatur yang baik-baik, bukan mengatur nak beli berlian, kata PMX



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi penghargaan kepada wanita yang bergelar ibu sempena sambutan Hari Ibu, yang disambut hari ini.

Perdana Menteri berkata, apabila membicarakan mengenai ibu, ramai yang tersentuh hati terutama mereka yang sudah kehilangan ibu.

Katanya, beliau sendiri amat tersentuh apabila mengingati arwah ibunya yang sudah meninggal dunia.


"Seperti dalam filem Anwar: Untold Story, kalau ada sekali pun saya menangis ketika bertahun di penjara, saya menangis apabila ibu saya meninggal dunia ketika saya meringkuk di penjara.

"Kasih ibu, sumbangan mereka, latihan mereka dan pendedahan mereka tempat kita mengadu sukar diganti,

"Ibulah tempat kita mengadu, itu sukar diganti, jadi bagi yang ada ibu, jagalah mereka dengan penuh kasih sayang," katanya sebelum mengakhiri ucapan dalam Amanat Perdana sempena Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023.

Perdana Menteri turut menyanyikan bait lagu P Ramlee, yang antara lain menyatakan tanpa ibu bapa, maka tiada tempat untuk mengadu.


Beliau menyatakan isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengingatkannya untuk tidak lupa menitipkan ucapan Selamat Hari Ibu pada perhimpunan itu.

"Azizah mengingatkan saya, hari ini hari ibu. Saya memang ingat, jadi saudara semua tahu siapa yang berkuasa, saudara bagi tahu Anwar bagus, berjaya tapi yang belakang, yang mengatur semuanya.

"Tapi yang baik bukan mengatur beli berlian, mengatur untuk kebaikan kita semua," katanya.

Perdana Menteri berpesan bagi mereka yang masih ada ibu dan isteri supaya menjaga mereka dengan penuh kasih sayang.


"Bagi yang ada isteri, yang menjadi ibu kepada anak-anak, tunjukkan kasih sayang kepada mereka

"Bagi yang tiada ibu kerana mereka sudah meninggalkan , kita sentiasa mendoakan supaya Allah memberikan keampunan dan kasih sayang kepadanya sebagai mana mereka mencurahkan kasih sayang kepada kita," katanya. − Bharian



 

Join our Telegram Channel
Telegram