Pelajar tahfiz dicium, disuruh hisap, urut kemaluan



MELAKA: Mudir dan warden asrama sebuah pusat tahfiz di Tanjung Minyak di sini, yang dipercayai terlibat dengan kes amang seksual fizikal dan penderaan kanak-kanak direman empat hari bermula hari ini.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Nurul Bahiyah Kamaluddin sehingga 16 Mei ini terhadap suspek yang juga warga Singapura berumur 40 dan 36 tahun.

Kedua-dua tertuduh yang juga adik beradik kini disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001, susulan enam laporan dibuat oleh enam pelajar pusat tahfiz berkenaan, berumur antara 13 hingga 15 tahun, Khamis lalu.


Semasa tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira pukul 9.35 pagi tadi, suspek pertama yang juga mudir dan pengasas pusat tahfiz terlibat sempat menunjukkan isyarat bagus kepada pengamal media yang sudah berkumpul di situ sejak 8 pagi.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, dua lelaki warga Singapura yang juga mudir dan warden asrama pusat tahfiz di Melaka ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kes amang seksual fizikal dan penderaan kanak-kanak.

Dalam kes itu, tiga pelajar dilaporkan dicium, disuruh menghisap kemaluan dan mengurut kemaluan oleh mudir yang juga suspek pertama, manakala tiga lagi pelajar didera secara fizikal dengan cara ditampar, ditumbuk, dipijak serta disebat dengan rotan oleh warden asrama (suspek kedua).


Dalam pada itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya menahan kedua-dua suspek di Tanjung Minyak pada pukul 1 dan 1.30 petang semalam, selepas kesemua mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Batang Tiga.

Beliau berkata, kejadian itu didakwa telah lama berlaku di institusi berkenaan dan kali terakhir mangsa didera secara seksual dan fizikal adalah pada 7 Mei lalu.

“Mudir itu sebelum ini pernah didakwa dan dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 377B Kanun Keseksaan atas kesalahan seks luar tabii pada 2019. Adiknya bagaimanapun tidak mempunyai rekod lampau,” jelasnya. − Utusan



Join our Telegram Channel
Telegram