Rogol remaja 14 tahun bergilir-gilir, 3 lelaki ditahan



PETALING JAYA: Polis menahan tiga lelaki pada Selasa dan memburu seorang lagi suspek bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Ulu Tiram, Johor, minggu lalu.

Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak berkata, semua suspek berusia 24 hingga 30 tahun itu, ditahan selepas mangsa membuat laporan polis.

Katanya, berdasarkan laporan dibuat, mangsa memberitahu dia dirogol empat lelaki warga tempatan secara bergilir-gilir di sebuah rumah antara 1 hingga 3 pagi, 14 Mei lalu.


“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota balai polis Ulu Tiram, membuat tangkapan ke atas tiga suspek antara 3.30 hingga 6 pagi, pada Selasa.

“Polis juga merampas dua telefon bimbit, kain terdapat kesan tompokan disyaki darah dan sehelai cadar bercorak kelabu dengan kesan air mani,” katanya dalam satu kenyataan.

Sohaimi berkata, dua suspek ditahan didapati positif dadah selain mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.


“Ketiga-ketiga mereka direman enam hari bermula Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan.

“Polis masih memburu seorang lagi suspek berusia 27 tahun bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kanan jenayah, Addie Remie Jasmin di talian 013-8636345/07-386422. − FMT



Join our Telegram Channel
Telegram