PETALING JAYA: Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan beliau tidak
memandu uji kereta di Juru Auto City, Bukit Mertajam, Sabtu lalu dan bersedia
memaafkan wanita yang membuat dakwaan berhubung isu itu.
“Saya tidak memandu kereta itu (tetapi) hanya duduk di dalam kereta di sebelah
jurujual manakala pengawal peribadi saya duduk di belakang.
“Bagaimanapun, saya serahkan kepada polis untuk membuat siasatan sama ada
kejadian petang itu ada kaitan dengan pelanggaran SOP PKP 3.0.
“Saya tak kata saya tak salah, tetapi seandainya ia satu pelanggaran SOP, saya
minta maaf kerana ia berlaku secara kebetulan,” portal Harakahdaily milik PAS
memetik Sanusi sebagai berkata.
Sanusi juga berkata beliau memaafkan “makcik” yang mendakwa beliau melanggar
SOP dengan memandu uji kenderaan di Juru Auto City pada Sabtu lalu, tanpa
mengira niat wanita itu.
“Saya sedia memaafkan makcik itu. Kalau niat dia buruk pun saya maafkan. Kalau
dia berniat baik saya puji sikapnya.
“Malah saya juga memaafkan semua yang pernah memaki hamun saya tidak kiralah
kes apa-apa pun,” tambah beliau.
Sanusi berkata pihak yang mengambil gambarnya berhubung kejadian itu
sepatutnya memastikan fakta sebelum membuat dakwaan.
“Orang yang ambil gambar itu pun mungkin niat baik nak tunjuk pemimpin langgar
SOP. Cuma dia tak pun tanya saya dulu ‘mai’ (pergi) situ buat apa. Mungkin dia
fikir saya rentas negeri kerana nak beli kereta,” jelasnya.
Menurutnya, sekiranya perbuatan itu dianggap sebagai satu kesalahan, beliau
sedia membayar kompaun semua yang terlibat termasuk juru jual kenderaan
berkenaan.
Sanusi berharap warganet tidak menyalahkan jurujual kereta terbabit kerana
melayannya dengan baik ketika singgah di ruang pameran kenderaan tersebut.
Sabtu lalu, suri rumah Nini Siron, 36, memuat naik gambar seorang lelaki
menyerupai Sanusi menaiki kenderaan pacuan empat roda untuk di pandu uji
bersama tiga orang lain, termasuk juru jual kereta.
Sebarang pandu uji kenderan dilarang bawah Perintah Kawalan Pergerakan 3.0
yang berkuat kuasa sekarang.
Nini kemudian membuat laporan polis berhubung perkara itu pada hari sama.
Menurut laporan, polis telah mengambil keterangan beberapa individu dan
dijadualkan mengambil kenyataan Sanusi petang tadi.
Susulan membuat laporan polis itu, Nini diserang dalam talian, dengan gambar
keluarga dan anaknya disebarkan secara meluas di media sosial yang mengecam
tindakannya itu.
Sanusi turut menasihatkan Nini menggunakan gajet yang dimilikinya bagi
kerja-kerja kebaikan.
“Kalau dia perlu gajet yang baik untuk dapatkan gambar lebih jelas, saya
bersedia hadiahkan untuknya gajet baharu.
“Tetapi ambil gambar yang baik-baik dan sebar untuk tujuan kebaikan,”
tambahnya yang juga Adun Jeneri.
ARTIKEL BERKAITAN:
- MB Kedah test drive kereta waktu PKP, lari naik Vellfire selepas kantoi
- Pandu uji kereta ketika PKP, MB Kedah disiasat polis
- MB pi jengok kereta je, bukan nak pi beli
- Nini pertahan dakwaan MB Kedah test drive kereta walaupun teruk dikecam
- MB Kedah mengaku berlaku kejadian test drive, Setpol kantoi menipu
- Kes test-drive MB Kedah polis tunggu nasihat pendakwa
- MB Kedah dikompaun langgar SOP test drive, terbukti sebelum ini beliau menipu
- Individu kantoikan MB Kedah test drive lahir rasa syukur, saya bukan RBA
Join our Telegram Channel