PN jangan jual Lapangan Terbang Subang



SEPANG – Pengerusi Malaysia Airports, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir sekali lagi menyatakan bantahan terhadap langkah penjualan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang (LTSAAS) dan berharap kerajaan membatalkan hasrat untuk menswastakannya bagi tujuan pengambil alihan pihak tertentu.

Beliau juga menekankan bahawa pelan Regenerasi LTSAAS yang dikemukakan oleh Malaysia Airports adalah merupakan sebahagian daripada kerangka besar perancangan masa depan kerajaan ke arah industri penerbangan dan aeroangkasa negara.


“Ia termasuk dalam Pelan Strategik Lapangan Terbang Kebangsaan (PSLTK) dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Kebangsaan 2030.

“Ini merupakan kenyataan saya kali ketiga yang membantah langkah penjualan LTSAAS.

“Justeru tidak timbul perkara yang dimainkan oleh pihak tertentu bahawa saya tidak pernah bersama dengan Malaysia Airports dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Semenanjung, Sabah dan Labuan serta Sarawak (Kesma, Kepemab dan Kepmas) dalam usaha menyelamatkan LTSAAS dan kedudukan syarikat secara keseluruhan, ” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Zambry bagaimanapun berkata, beliau menghormati pendirian kesatuan pekerja terbabit kerana mereka mewakili suara warga Malaysia Airports.

“Begitu pun, saya masih menaruh harapan agar kerajaan mendengar pandangan rakyat dan rintihan warga Malaysia Airports agar LTSAAS tidak dijual

“LTSAAS adalah aset strategik negara yang perlu dipertahankan,” katanya. – Kosmo



Join our Telegram Channel
Telegram