Rakyat perlu bantuan ekonomi, bukan tambah hutang – Zahid



Giliran Ahmad Zahid Hamidi pula mempersoalkan keputusan kerajaan membenarkan sektor kredit komuniti atau pemberi pinjam wang (PPW) berlesen beroperasi, di tengah-tengah ramai yang terkesan dari sudut kewangan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Presiden Umno itu berkata, kebenaran itu pula ketika ada sektor lain yang dilarang atau dihadkan ketika ini.

"Kita tidak faham bagaimana syarikat Pemberi Pinjam Wang boleh dianggap sebagai perkhidmatan penting ketika ini, dibenarkan beroperasi serta merta selepas dipersetujui mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 18 Jun lalu.

"Walhal banyak segmen perniagaan lain yang benar-benar penting termasuk berkait keperluan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) masih dilarang," katanya dalam kenyataan hari ini.


Dia berkata kebenaran itu boleh menimbulkan tanggapan buruk terhadap cara kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani dampak penularan wabak Covid-19.

"Ini seolah-olah menggalakkan rakyat dalam kesulitan akibat 'total lockdown' caca marba untuk meminjam daripada syarikat pemberi pinjam wang," katanya lagi.

Pada 23 Jun lalu, kerajaan bersetuju membenarkan sektor Kredit Komuniti (KK) atau PPW yang berdaftar bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk beroperasi berkuat kuasa serta-merta.

KPKT berkata, ia menjadi sektor yang ke-13 disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu bawah Kluster Kerajaan Tempatan dalam sistem Covid-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0).

Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan turut mengkritik keputusan itu, dengan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal dan tidak dapat membantu rakyat dalam kesusahan ketika ini.


“Rakyat sangat memerlukan bantuan ekonomi yang sewajarnya dalam tempoh PKP 3.0 yang dilanjutkan. Menambah beban hutang bukan penyelesaian untuk keluar daripada desakan kewangan yang menghimpit," katanya.

Mengulas lanjut, Zahid berkata kaedah yang lebih baik untuk membolehkan rakyat membuat pinjaman adalah menerusi agensi kerajaan seperti Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, dengan memperluas dan mempermudahkan prosesnya.

"Rakyat mula tertanya-tanya inikah sahaja tahap kemampuan kerajaan PN berfikir untuk membantu rakyat yang sedang sengsara.

"Kelihatan seperti mahu menyerahkan sebahagian tanggungjawab menghulurkan tunai kepada PPW yang semestinya 'kecil tapak tangan nyiru mereka tadahkan'," katanya lagi. – Mkini


ARTIKEL BERKAITAN:



Join our Telegram Channel
Telegram