Saluran Berita RTM diyakini masyarakat kata Saifuddin



Saluran Berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjadi saluran yang diyakini masyarakat bagi mendapatkan berita yang sahih dan tepat selepas genap setahun pelancarannya pada tahun lepas.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saiduddin Abdullah berkata perkara itu berikutan RTM sudah mempunyai jenama yang melekat di hati sebahagian besar masyarakat selain menjadi saluran rasmi yang menyebarkan isu mengenai Covid-19.


“Saya nampak perkembangan yang menarik dan juga sangat menggalakkan kerana dalam masa setahun ini saluran Berita RTM mendapat sambutan yang baik daripada masyarakat dan ia mampu sedikit sebanyak menggamit imaginasi sebahagian besar daripada mereka yang menonton televisyen.

“Secara kebetulan, oleh kerana kita ada beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka orang banyak bertumpu di (hadapan) televisyen dan di sini saya lihat saluran Berita RTM memainkan peranan yang cukup istimewa dengan tagline ‘Yang Sahih di Berita RTM,” katanya.

Beliau berkata demikian di dalam program Selamat Pagi Malaysia RTM dengan topik ‘Setahun Saluran Berita RTM’ hari ini.


Saluran Berita RTM dilancarkan pada 25 Jun tahun lepas dengan menawarkan 25 slot berita dan 12 program bicarawara bagi menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat sebagai dasar kepada berita utama dalam dan luar negara.

Sementara itu, Saifuddin berharap selain menjadi saluran rasmi berita COVID-19, saluran Berita RTM boleh meneroka beberapa kebitaraannya tersendiri pada masa akan datang supaya dapat menaikkan lagi ‘rating’ kepada masyarakat. – Bernama

 

Join our Telegram Channel
Telegram