Sultan Ibrahim kecewa proses vaksinasi di Johor perlahan



PETALING JAYA: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kecewa dengan kadar vaksinasi yang masih perlahan.

Justeru, beliau menggesa kerajaan pusat agar mempertingkatkan lagi bekalan serta kadar vaksinasi termasuk di Johor.


“Hanya 10% daripada 3.78 juta populasi negeri Johor yang telah disuntik vaksin sehingga kini melalui Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Jentera kerajaan negeri bersedia untuk memberikan 50,000 suntikan sehari dengan sasaran memvaksinasi 50% populasi Johor dalam tempoh dua bulan,” katanya dalam kenyataan.

Sultan Ibrahim menyuarakan perkara sama selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Johor Hasni Mohammad, Setiausaha Kerajaan Johor Azmi Rohani, Penasihat Undang-Undang Johor Amir Nasruddin dan Pengarah Kesihatan Johor Dr Aman Rabu hari ini


Sultan Ibrahim turut menzahirkan kebimbangan berikutan maklumat yang dipersembahkan mendapati jangkitan di tempat kerja, kawasan perindustrian serta pembinaan menjadi penyumbang utama kepada bilangan kes setiap hari.

“Keadaan menjadi lebih parah apabila 69% kes baharu adalah jangkitan sporadik dalam masyarakat yang tidak dapat dipastikan puncanya.

“Langkah penyelesaian yang terbaik hanyalah dengan pemberian vaksin kepada semua rakyat dengan cepat dan menyeluruh. Ini telah terbukti berjaya di banyak negara yang melaksanakannya,” katanya. – Mkini

 

Join our Telegram Channel
Telegram