PETALING JAYA: Seorang pemandu pelancong Turki meminta maaf berhubung sekeping
gambar Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Azmin Ali di Turki yang
muncul dalam talian dengan kapsyen membayangkan beliau melawat Hagia Sophia
bersama keluarganya.
Warganet berang dengan cadangan yang mendakwa menteri Kabinet terbabit membawa
keluarganya bercuti bersama, sedangkan rakyat Malaysia menderita disebabkan
krisis Covid-19 yang semakin meruncing.
Gambar berkenaan dimuat naik satu akaun agensi pelancongan Turki
@Turkishlocalguide kira-kira 15 jam lalu bersama kapsyen “Gembira menjadi
pemandu pelancong Encik Muhammed Azmin Ali (Menteri Kanan Malaysia). Beliau
bersedia dan bersabar mendengar kisah Hagia Sophia”.
Pentadbir akaun media sosial itu kemudiannya menjelaskan hantaran berkenaan
dengan berkata, Azmin ke sana bersama deligasi kementerian dalam sebuah
program anjuran kerajaan Turki.
Hantaran itu kemudiannya dipadamkan, tetapi warganet sudah berkongsi tangkap
layar gambar itu dan apa yang mereka dakwa sebagai kapsyen asal, “Gembira
menjadi pemandu pelancong Encik Muhammed Azmin Ali (Menteri Kanan Malaysia)
dan keluarganya. Beliau bersedia dan bersabar mendengar kisah Hagia Sophia.”
Warganet membandingkannya dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan penuh
ketika ini dan sekatan perjalanan yang menyebabkan ahli keluarga terpaksa
berjauhan.
Sindiran Najib
Bekas perdana menteri, Najib Razak antara mereka yang mengkritik.
Beliau secara sarkastik berkata, dirinya tidak sempat melawat Hagia Sophia
ketika lawatan kerja ke Istanbul pada 2017.
Dalam catatan di Facebook, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau ke Turki
ketika itu untuk menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Sayang sekali. Tak sempat ke Hagia Sophia. Min, cantik ke tempat ni?
Azmin Mesti Letak Jawatan
Di kala rakyat sedang bergelut dengan angka kematian Covid-19 yang
meningkat saban hari….
Di kala rakyat terpaksa beratur panjang di Pusat Penilaian Covid (CAC)
kerana kes infeksi meningkat saban hari…
Apakah wajar bagi Menteri MITI ambil kesempatan melancong di tempat
bersejarah Hagia Sophia Turki atas apa jua alasan?
Takkan tiada sekelumit rasa resah dan gelisah memikirkan keadaan rakyat di
Malaysia ketika ini?
Apatah lagi Datuk Seri kena ingat antara punca TOTAL LOCKDOWN ini GAGAL
adalah kerana Kilang-Kilang terus dibenarkan beroperasi sedangkan rakyat
dikurung dan terus menderita hingga hilang punca pendapatan!
Untuk rekod, sejak diisytiharkan TOTAL LOCKDOWN (Separa Masak) pada 1 Jun
2021, dalam tempoh 42 hari TOTAL LOCKDOWN, 3,460 kematian direkodkan
menjadikan jumlah keseluruhan 6,260 korban pada hari ke-42 hari ini.
Kalau sudah ‘mati rasa’ hingga tiada sekelumit perasaan sensitif atau
bersalah, PEMUDA UMNO desak Menteri MITI MESTI LETAK JAWATAN!
Join our Telegram Channel