PETALING JAYA: Siapa sangka dengan hanya berlatih ‘di belakang; rumah di
sebuah perkampungan di Jasin, Melaka, Hidilyn Diaz mampu mencipta sejarah
untuk negaranya apabila menyumbangkan pingat emas Olimpik pertama untuk
Filipina melalui acara angkat berat wanita kategori 55kg.
Tersangkut di Malaysia sejak Februari tahun lalu disebabkan pandemik Covid-19,
Diaz pada mulanya agak resah terpaksa berlatih di gimnasium sementara yang
dikelilingi pokok pisang dan rambutan – tempat latihan yang mustahil mampu
memberikan emas kepadanya di Olimpik Tokyo.
Diaz, 30, pemenang pingat di Olimpik Rio 2016, walaupun tersangkut di Malaysia
tetapi tetap bertekad untuk merealisasikan impiannya menjadi pemenang pingat
emas Olimpik pertama dari Filipina.
“Saya sudah bersedia. Saya tidak dapat mengatakan berapa peratus, tetapi saya
berada di sana – fikiran saya ada, hati saya ada, secara fizikalnya ada,” kata
Diaz kepada AFP dalam satu temu bual pada Mei lalu ketika dia berehat dari
persiapan terakhirnya untuk menyertai Sukan Olimpik keempat buat dirinya, dan
mungkin terakhir.
Nama Diaz sememangnya sudah terpahat dan menjadi buah mulut rakyat negaranya,
di samping ikon tinju Manny Pacquiao, sebagai satu-satunya wanita dari
kepulauan di selatan negara itu – Mindanao – yang pernah memenangi pingat
Olimpik – perak di Rio yang memecahkan kemarau pingat 20 tahun untuk Filipina.
Perawakannya meningkat dua tahun kemudian ketika dia meraih emas di Sukan Asia
di Indonesia dan mengulangi prestasi di Sukan SEA di tanah air pada bulan
Disember 2019.
Diaz berada di landasan yang baik untuk muncul juara di Olimpik, tetapi
Covid-19 mengubah segala-galanya apabila temasya sukan itu ditunda setahun.
“Sukar untuk meletakkan sasaran apabila ia dilanjutkan beberapa bulan dan pada
masa yang sama anda tahu anda mempunyai rancangan setelah Olimpik,” kata Diaz,
yang bertugas sebagai anggota Tentera Udara Filipina.
Anak perempuan seorang pengayuh beca itu berasal dari sebuah kampung miskin
berhampiran pelabuhan Zamboanga di Mindanao, Diaz tidak bertemu keluarganya
sejak Disember 2019.
“Saya harus mengorbankan masa bersama keluarga, mengorbankan masa dengan
rakan, mengorbankan masa dengan belajar … kerja saya di Tentera Udara
Filipina,” katanya.
Dia awalnya datang berlatih di Malaysia pada Februari 2020 kerana jurulatihnya
dari Cina, Gao Kaiwen, berpendapat itu lebih baik untuk dirinya jika mahu
memberi tumpuan untuk layak ke Tokyo.
Tetapi dalam beberapa minggu berlaku sekatan pergerakan akibat Covid-19 yang
menyebabkan Diaz berhadapan dengan situasi di mana gimnasium ditutup, tidak
ada akses kepada peralatan angkat berat dan ketidakpastian sama ada sukan itu
akan diadakan atau tidak.
“Pada mulanya ada banyak kegelisahan, ketakutan, dan kebimbangan kerana kami
berada di Malaysia – kami tidak tahu di mana harus tinggal, kami tidak tahu di
mana untuk berlatih,” kata Diaz.
Selama berbulan-bulan Diaz dan jurulatihnya – “Team HD” – ‘terperangkap’ di
sebuah blok pangsapuri di ibu kota Kuala Lumpur di mana mereka harus
berhati-hati agar tidak memecahkan lantai berjubin ketika berlatih dengan
angkat berat.
Tetapi Diaz yang tidak pernah menyerah kalah berjaya mencari masa untuk
mengumpulkan wang melalui sesi latihan dalam talian untuk mengedarkan
bungkusan makanan kepada keluarga miskin di kampung halamannya yang menderita
akibat pandemik Covid-19.
Pada bulan Oktober tahun lalu, Diaz dan pasukannya berpindah ke kawasan
perkampungan di Jasin, Melaka di mana mereka tinggal di rumah yang dimiliki
oleh seorang pegawai persatuan angkat berat Malaysia.
Diaz menggunakan gimnasium yang terletak berdekatan rumah yang ditumpangnya
itu, tetapi apabila sekatan pergerakan diperketat memaksanya untuk bersenam di
tempat letak kereta di rumah tersebut dan terpaksa bertarung dengan cuaca
panas di tempat terbuka berbanding latihan di gimnasium yang ada pendingin
hawa.
“Setiap kali ada sekatan perjalanan, dunia kami benar-benar terhenti dan anda
tidak tahu apa yang harus dilakukan dan anda terkejut,” katanya.
“Sekiranya saya tidak mempunyai Team HD, saya mengaku tidak akan berada di
sini, saya akan pulang ke Filipina.”
Masalah itu memberi kesan kepada Diaz, yang hanya meraih di tempat keempat di
Kejohanan Asia di Tashkent pada April, pertandingan pertamanya selepas lebih
dari satu tahun. Itu cukup untuk mendapatkannya tempat di Olimpiknya, tetapi
jauh dari yang terbaik, akuinya.
Diaz menjalani kuarantin 10 hari lagi setelah kembali, enam hari dikurung di
bilik hotel dengan empat hari terakhir di rumah, menggunakan basikal senaman,
dumbbell dan gelang getah untuk mengekalkan kecergasan dan kekuatannya.
Dia bertekad supaya berada dalam keadaan terbaik untuk Olimpik, yang dibuka
dalam masa dua bulan iaitu pada 23 Julai.
“Sudah tentu tekanan sangat tinggi… semua orang mengharapkan saya memenangi
pingat emas di Tokyo,” katanya.
“Saya terima keadaan ini. Saya hanya memberitahu diri saya untuk fokus pada
teknik, fokus pada kerja yang akan datang.
“Saya tidak mahu berjanji untuk menang emas, saya hanya mahu melakukannya.”
Berlatih di sepanjang jalan yang sibuk, Diaz sering disertai oleh anak-anak
tempatan yang ingin belajar bagaimana mengangkat berat.
“Saya gembira apabila anak-anak bergabung dengan angkat berat dan mereka
menjadi terpesona, begitulah juga saya memulainya,” kata Diaz, yang memulakan
dengan mengangkat balang air l18 liter untuk keluarganya semasa kecil.
“Mereka kata saya langsung tidak senyum. Tetapi saya perlu fokus. Kita perlu
berlatih,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel