![]() |
Ahmad Janius menunjukkan kawasan garaj di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka yang menjadi medan latihan atlet angkat berat. |
JASIN, Melaka: Kejayaaan jaguh angkat berat Filipina, Hidilyn Diaz merangkul
emas pertama buat negaranya di Sukan Olimpik 2020 turut menjadi kebanggaan
keluarga angkatnya di Kampung Kesang Tua di sini, yang menghabiskan masa
bersama atlet itu lebih setahun lalu.
Bapa angkat yang juga jurulatih jaguh berkenaan Ahmad Janius Abdullah, 50,
berkata, keazaman yang tinggi selain fokus dan sentiasa bertekad menggapai
impian emas Olimpik, adalah resepi utama wanita berusia 30 tahun berasal
dari Zamboanga City itu.
Ahmad Janius yang juga Timbalan Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia,
turut menyifatkan membantu pemenang pingat emas kategori 55 kilogram itu
sepanjang latihannya di Melaka, adalah atas dasar semangat kesukanan yang
tinggi dan persahabatan antara dua negara.
Katanya, Hidilyn yang lebih dikenali Hidi itu, telah berada di Teratak
Muhammedar yang menjadi asrama dan pusat latihannya, bersama dua lagi
jurulatih peribadinya sejak 16 September tahun lalu.
"Hidi seorang yang cerewet dan dia akan memastikan semua peralatan dan
fasiliti latihan berada dalam keadaan sempurna dan teratur, dalam segenap
aspek termasuk perkara-perkara kecil.
"Kata-katanya sentiasa terngiang, iaitu dia mahu pingat emas Olimpik dan
gigih menjalani rutin latihan selama tujuh jam setiap hari, iaitu pukul 10
pagi hingga pukul 1 tengah hari dan pukul 5 hingga pukul 7 petang, selain
fokus terhadap pelajarannya pada waktu malam," katanya ketika ditemui
pemberita di sini hari ini.
Ahmad Janius berkata Hidi yang membuat penampilan keempat di pentas Olimpik
itu juga seorang yang berdisplin tinggi, terutamanya mengenai latihan dan
pemakanan apabila setiap jumlah makanannya akan ditimbang.
Beliau berkata, dia juga berkesempatan menghantar Hidi dan pasukannya ke
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke Sukan
Olimpik Tokyo, pada 18 Julai lalu.
Please subscribe
"Hubungan saya dengan Hidi juga seperti bapa dan anak, walaupun dia
memanggil saya 'sir' dan saya akan pastikan keperluannya di rumah itu,
sentiasa mencukupi dan terbaik.
"Saya juga telah berpesan kepadanya supaya beraksi dengan baik dalam
angkatan 'snatch', kerana itu kelemahannya dan ternyata Hidi mengambil
serius pesanan itu untuk beraksi dengan cemerlang, sekali gus meraih emas,"
katanya.
Katanya dia turut berbangga dan terharu, walaupun Hidi mendapat liputan
meluas dan perhatian dunia namun beliau tidak lupa untuk mengucapkan terima
kasih kepada mereka di teratak itu dan Malaysia, sejurus merangkul emas.
Ahmad Janius berkata pada awalnya, Teratak Muhammader itu hanyalah rumah
tinggal yang penuh dengan semak samun, namun beliau mengubah suai kawasan
rumah dan garaj di situ seperti gimnasium terbuka.
![]() |
Ahmad Janius memantau teknik seorang bakat muda tempatan dalam sukan angkat berat di garajnya, di Kampung Kesang Tua, Jasin. |
"Pada permulaan dia seperti tidak selesa, tetapi mula jatuh cinta dengan
tempat ini selepas seminggu kerana suasana yang aman, membolehkannya
berlatih dengan tenang dan fokus.
"Apa lebih penting ialah apabila Hidi menjalani latihan di sini, manfaat
turut diterima daripada anak-anak muda yang berlatih angkat berat di sini,
dapat mempelajari pelbagai ilmu daripada seorang atlet bertaraf dunia,"
katanya sambil menambah Hidi tidak lokek berkongsi ilmu, dengan anak-anak
muda yang menjalani latihan di tempat berkenaan.
Tambahnya dia juga dimaklumkan Hidi yang sangat menggemari asam pedas Melaka
dan durian IOI itu, akan kembali ke ke negeri ini dalam masa terdekat bagi
kejohanan berikutnya.
Hidi terkandas di Malaysia sejak Januari tahun lalu berikutan penularan
COVID-19, selain pernah berlatih di beberapa tempat berbeza seperti Kompleks
Sukan Desa Pandan dan Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. – BHarian
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel