Hishammuddin pemimpin tidak asing di dalam, luar negara



KUALA LUMPUR: Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang dilantik sebagai Menteri Kanan mengetuai Kluster Keselamatan merupakan seorang pemimpin yang tidak asing lagi di dalam dan luar negara.

Hishammuddin yang pernah mempunyai firma guaman sendiri antara tahun 1989 hingga 1993 itu juga dikenali sebagai seorang pemimpin yang tenang ketika berhadapan krisis dan dalam mengatur hubungan diplomasi dengan pelbagai negara.

Perkara itu jelas kelihatan ketika beliau mengendalikan misi pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.


Ahli Parlimen Sembrong untuk empat penggal berturut-turut itu memulakan perjalanan politik pada usia 28 tahun sebaik tamat pengajian dengan menyertai Umno cawangan Sungai Mati, Johor pada tahun 1989.

Beliau yang pernah menjadi peguam memulakan karier dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan sejak 1995 apabila dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Bekas Ketua Pemuda dan Naib Presiden Umno itu kemudian dilantik Timbalan Menteri Perusahaan Utama pada 1997, Menteri Belia dan Sukan (1999), Menteri Pelajaran (2004-2009) dan seterusnya Menteri Dalam Negeri pada tahun 2009.

Pada 2013 beliau dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan memangku jawatan Menteri Pengangkutan, sebelum dilantik sebagai Menteri dengan Tugas-tugas Khas yang bertanggungjawab memantau keselamatan Sabah dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) pada tahun 2014.

Pada 2020, beliau dilantik sebagai Menteri Luar di bawah Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Hishammuddin yang lahir pada 5 Ogos 1961 di Kuala Lumpur, mendirikan rumah tangga dengan Tengku Datin Seri Marsilla Tengku Abdullah pada 1986 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Nasha Alyssa, Farris Hussein, Kyra Arianna dan Fahd Hussein.

Anak kepada Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia ketiga dan cucu kepada Pengasas Umno Datuk Onn Jaafar itu mendapat pendidikan awal di Sekolah St John’s Kuala Lumpur, Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Cheltenham Boys College di United Kingdom.

Selepas tamat pengajian graduan Undang-undang dari University of Wales, United Kingdom dan London School of Economics, United Kingdom, beliau memulakan karier pertamanya sebagai peguam. – Bernama

 

Join our Telegram Channel
Telegram