MELAKA: Dua lagi hospital daerah di Melaka mula menampung pesakit Covid-19
sejak awal minggu ini susulan jumlah katil di Hospital Melaka mencapai paras
kritikal.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman
berkata, keputusan itu dibuat selepas penggunaan katil di Hospital Melaka
mencecah 91 peratus.
Katanya, sebanyak 400 daripada keseluruhan 444 katil telah dipenuhi dan
sejumlah 13 pesakit kini terpaksa dirawat di Hospital Alor Gajah dan Hospital
Jasin.
“Mengikut data sehingga kelmarin, kapasiti katil di Hospital Melaka berada
pada paras kritikal iaitu mencecah 91 peratus, menyebabkan dua buah hospital
daerah kini terpaksa menerima dan merawat pesakit Covid-19 bermula awal minggu
ini.
“Hospital Jasin kini merawat tujuh pesakit Covid-19, manakala Hospital Alor
Gajah enam pesakit,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau hari pertama
pelaksanaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pandu lalu di Lapangan Terbang
Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, katil di Jabatan Kecemasan Hospital Melaka
juga turut menempatkan pesakit Covid-19 termasuk di zon hijau, kuning dan
merah.
Jelasnya, katil bagi merawat pesakit Covid-19 di jabatan itu turut
ditingkatkan kepada 60 katil, berbanding hanya 10 sebelum ini.
“Kita merancang untuk menjadikan laluan dan Zon Hijau ditutup dan pesakit
tidak kritikal boleh mendapat rawatan di Klinik Kesihatan (KK) Peringgit yang
akan dibuka untuk 24 jam.
“Anggaran KK itu mampu menampung seramai 150 pesakit zon hijau dari Hospital
Melaka.
“Hospital Melaka kini sesak sehingga terpaksa menggunakan segenap ruang yang
ada seperti bilik mesyuarat, stor, tempat parkir ambulans dan sebagainya bagi
menempatkan pesakit Covid-19,” jelasnya.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri turut bercadang untuk menambah katil penjagaan
kritikal dan peralatan di Hospital Melaka bagi menampung keperluan unit
rawatan rapi (ICU).
ARTIKEL BERKAITAN:
Join our Telegram Channel