Jangan percaya kempen #KerajaanGagal, kata Mahiaddin



Menyentuh mengenai proses vaksinasi yang mengikut jadual, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengingatkan orang ramai supaya jangan sesekali mempercayai kempen kerajaan gagal.

Muhyiddin berkata jumlah harian pemberian vaksin negara yang memberangsangkan itu memberikan sinar harapan untuk negara.

“Jangan kata kerajaan tak beri tumpuan, jangan sesekali percaya kempen kerajaan gagal… Minta maaf, saya tak cakap politik di sini.


“(Tapi) yakin bahawa dengan kerjasama kita, pimpinan dalam kerajaan, swasta, rakyat jelata, NGO, kita boleh menang dalam peperangan ini,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan penyediaan bakul prihatin negara.

Untuk rekod kemarahan dan kebimbangan orang ramai kian memuncak akhir-akhir ini selepas pelaksanaan darurat berpanjangan - sejak 11 Jan lalu - dan kuncitara (total lockdown) masih gagal melandaikan keluk jangkitan Covid-19.

Ia mendorong penggunaan tanda pagar #kerajaangagal dalam kalangan pengguna media sosial.

Lebih teruk apabila kes jangkitan harian Covid baru semalam mencatatkan 11,618, iaitu merekodkan kes tertinggi dan lima angka untuk dua hari berturut-turut.

Tambah Muhyiddin, sebahagian besar lagi rakyat akan menerima suntikan berikutan bekalan vaksin yang akan meningkat.


Katanya, dia telah meminta jawatankuasa pengurusan untuk menilai semula mereka yang telah selesai menerima dua dos vaksin untuk diberikan kelonggaran dalam aktiviti-aktiviti tertentu.

“Sama ada dari segi perjalanan atau pergi ke kedai, makan di restoran, ini menunjukkan bahawa sementara kita uruskan Covid-19, kehidupan rakyat sikit demi sedikit akan kembali seperti masa-masa yang lepas.

“Jadi ini adalah inisiatif seterusnya dan tempoh jangka masa ikut pelan pemulihan itu hanya sampai akhir tahun. Jadi bersabarlah,” katanya.

Negara kini berada dalam Pelan Pemulihan Negara Fasa 1. Manakala beberapa negeri telah mencapai nilai ambang Fasa 2 kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN). – Mkini


 
Join our Telegram Channel
Telegram